Monday, September 27

Tak sempat selemat

0

TA00540  Abang pasrah tidak berdaya menyelamatkan adik OKU rentung dalam kebakaran.

Oleh Bryan Bell //

MUKAH: Satu kesedihan bagi seorang abang apabila tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan adiknya yang kurang upaya (OKU) dalam kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Petanak di sini pada jam 4.40 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Jumil Sijan, 39, gagal diselamatkan daripada kebakaran dan ditemui rentung atas bara api dalam bilik tidurnya.

Abangnya, Jamar Sijan, 42, berkata, kebakaran dipercayai bermula dari arah dapur dan dia mula sedar selepas berasa terlalu panas.

“Saya mencuba sedaya-upaya untuk masuk ke dalam bilik tidur adik saya tetapi tidak sempat. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Saya menjerit memberitahu rumah terbakar, segera membangunkan ibu dan lima anak saudara yang kebetulan baharu pulang bercuti,” ujarnya.

Jamar memberitahu, adiknya gagal diselamat kerana bahagian rumah yang menempatkan bilik tidur mangsa sudah terbakar.

“Saya cuma mampu menarik lengan ibu serta mengarahkan yang lain untuk menyelamatkan diri dan keluar ke tempat selamat,” ceritanya.

Kejadian terbabit yang meranapkan rumah kayu milik Johnia Langun yang dipercayai tempat bermulanya kebakaran turut memusnahkan sebuah lagi rumah milik Melanie Gapor.

Ketua Balai Bomba Bahagian Mukah Alimat Sam memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 pagi.

Menurut beliau, tujuh anggota dengan sebuah jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 5.02 pagi, manakala operasi memadam api tamat pada jam 6.20 pagi.

Mayat mangsa diserah kepada pihak polis dari Balai Polis Daerah Mukah untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Mukah bagi urusan bedah siasat sebelum dituntut semula ahli keluarga untuk upacara pengebumian.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah semalam meluangkan masa menziarahi ahli keluarga mangsa kebakaran itu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah kepada keluarga terlibat dalam bentuk bantuan makanan, peralatan dapur, wang saku, pakaian harian, bantuan alat tulis, pakaian seragam serta bantuan bahan binaan.