Pembonceng motosikal terbunuh, penunggang cedera parah

0

SERIAN: Seorang pembonceng motosikal terbunuh manakala penunggang cedera parah dalam satu kemalangan di Jalan Terbat-Daha di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Thaddues Baharun, 27, dari Kampung Terbat Laban dipercayai akibat cedera parah di kepala dan badan.

Rakan sekampungnya yang menunggang motosikal tersebut pula dilaporkan cedera parah.

Dalam insiden sekitar jam 1.15 pagi itu difahamkan, mangsa-mangsa sedang menuju ke Kampung Daha apabila melanggar sebuah kereta jenis Honda dari belakang.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Chung Aik Peng yang mengesahkan kejadian memberitahu, bagaimanapun pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semasa siasatan di tempat kejadian, didapati mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dibawa ke sebuah klinik di Bunan Gega dan mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh ASP John Sabadurai Frankie Alat.