Chong gagal dedah identiti ‘Pembeli A’ tanah Batu Kawa, elak jawab soalan

0

KUCHING: “Adakah itu penjelasan terbaik yang dapat diberi oleh Chong Chieng Jen sebagai Ketua DAP Sarawak?” kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak, Abdullah Saidol.

Menurut Abdullah mana-mana pelawak dapat berasakan maklum balas Ahli Parlimen Bandar Kuching mengenai isu jual beli tanah di Batu Kawa menunjukkan sikapnya begitu terdesak untuk mengelak daripada menjawab setiap pertanyaan mudah.

“Ingin saya mengulangi pertanyaan kepada Chong…pertama, mengapakah beliau masih enggan mendedahkan identiti ‘Pembeli A’?

“Chong adalah orang secara terbuka mengumum terdapat seorang pembeli yang sanggup (willing purchaser) tetapi memilih untuk tidak mendedahkan identitinya,” katanya.

Abdullah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chong kelmarin yang mendakwa beliau membuat jenaka paling lawak apabila mengatakan proposal jual beli tanah di Batu Kawa tidak telus.

Chong berkata kenyataan bersama Abdullah dengan Phang Dah Nan, (Setiuasaha Politik kepada Ketua Menteri) semalam turut menunjukkan kedua-duanya tidak memahami sepenuhnya proposal berkenaan.

“Kenyataan bersama Abdullah dan Phang hari ini (semalam) mendakwa kertas kerja mengenai penjualan RM620 juta (tanah di Batu Kawa) merupakan jenaka paling lawak tahun ini. Mereka benar-benar tidak memahaminya,” ujar Chong.

Chong berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem seharusnya membuat pendirian tegas ketika mencabarnya mencari pembeli baharu yang boleh membayar RM550 juta tunai kepada kerajaan negeri.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri pula percaya semua pihak ingan tahu siapa individu atau pihak misteri dikenali ‘Pembeli A’ itu.

“Saya bersetuju dengan Chong, bahawa perkara ini adalah penting bagi orang ramai ketahui. Tetapi apabila saya bertanya soalan mudah, beliau sebaliknya menyifatkan ia pertanyaan paling lawak.

“Saya juga membangkitkan tentang kenyataannya pada Ogos tahun lalu apabila beliau mencadangkan pelan pembangunan dan menyarankan agar tanah terbabit di Batu Kawa dibangun dengan 3,120 unit rumah mampu milik bagi golongan miskin.

“Kemudian saya bertanya kepadanya, kenapa rumah mampu milik itu tiada dalam pelan pembangunan terbaharunya? Adakah pertanyaan saya itu tidak munasabah?” ujarnya.

Menurut Abdullah, Chong turut menuduhnya cuba melindungi Standard Parade Development Sdn Bhd (SPD) dan jawapannya (Abdullah) tidak berisi, sekadar menghina cadangan Chong.

“Saya tidak bergaul dengan orang SPD. Saya tidak peduli siapa mereka. Proposal mereka kelihatan menarik atas kertas dan disebabkan itu saya ada mencadangkan kepada Chong untuk segera mengemuka proposal kepada pengarah Jabatan Tanah dan Survei.

“Tidakkah saya bersikap munasabah di sini,” katanya sambil menambah urusan jual beli tanah berkenaan bukan seperti transaksi ‘pasar basah’.

Beliau berkata jika Chong benar-benar serius mengenai urusan itu (transaksi),beliau mencabarnya untuk mengikuti rangka masa ditetap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan segera meminta ‘Pembeli A’ secara rasmi mengemuka pelan pembangunan menyeluruh tanpa syarat kepada Pengarah Tanah dan Survei.

Abdullah menegaskan seperti mana-mana transaksi, melibatkan kawasan tanah luas, pembeli yang sanggup (willing purchaser) perlu menyedia bukti kemampuan kewangannya.

Ia penting katanya untuk membuktikan keupayaan kewangan pembeli dimaksud Chong termasuk menunaikan semua kewajipan yang dinyata beliau.

“Proposal berkenaan seharusnya dikemuka dan dilaksana oleh pembeli itu sendiri, bukannya proksi atau wakilnya.

“Bahagian mana dalam kenyataan saya sebelum ini yang tidak tepat? “Atau Chong cuba memberitahu saya bahawa semua drama media mengenai transaksi tanah itu hanya satu lagi gimik politik untuk menunjukkan sebenarnya DAP berkhidmat kepada rakyat.

“Jika itu yang Chong maksudkan, dengan mendakwa saya tidak memahami maksudnya. Maka lawak itu datang daripada beliau sendiri,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Semop itu.