Gubal buku teks sejarah tidak abai sejarah mana-mana negeri: TPM

0

KUALA LUMPUR: Penggubalan kurikulum dan kandungan buku teks mata pelajaran Sejarah untuk sekolah rendah atau sekolah menengah tidak pernah mengabaikan sejarah mana-mana negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebaliknya penulisan dan pendidikan sejarah adalah berasaskan kepada kaca mata, aspirasi dan pandangan masyarakat negara ini secara umum yang telah diiktiraf.

“Ia telah diiktiraf oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum dan Buku Teks Sejarah yang terdiri daripada tokoh pelbagai latar belakang sama ada ahli akademik,universiti dan Persatuan Sejarah,” katanya semasa menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-11 peringkat Kementerian Pendidikan, di Dewan Rakyat di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata panel tersebut yang bertanggungjawab menggubal buku teks itu telah mengambil kira ketetapan dan asas-asas pertimbangan untuk menentukan kandungan buku teks yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, katanya keterbatasan tetap berlaku yang tidak semua bahan sejarah negara ini dapat dimasukkan sebagai kandungan dalam buku teks itu.

“Kita tidak dapat masukkan semua sekali kerana ada asas-asas pertimbangan yang mana kita boleh masukkan sebagai bahan sejarah dan yang mana tidak dapat kita masukkan…tetapi elemen itu memang ada diambil kira,” katanya. — Bernama