Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja diisytihar Batalion Infantri Standard

0
KENANGAN: Stephen (depan) dan Md Yusof bergambar secara berkumpulan bersama para pegawai dan anggota pelbagai pangkat yang turut serta dalam perbarisan pengisytiharan pengoperasian Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja di Kem Muara Tuang, semalam.

KENANGAN: Stephen (depan) dan Md Yusof bergambar secara berkumpulan bersama para pegawai dan anggota pelbagai pangkat yang turut serta dalam perbarisan pengisytiharan pengoperasian Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja di Kem Muara Tuang, semalam.

KUCHING: Pengisytiharan Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja sebagai sebuah Batalion Infantri Standard (BTS) kini melengkapkan ketumbukan Formasi Briged Ketiga Infantri Malaysia dengan tiga BTS di negeri ini.

Selain Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, dua lagi BTS di negeri ini ialah Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia di Sri Aman dan Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia di Kem Penrissen.

Justeru, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata pengisytiharan BTS kepada Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja akan meningkatkan lagi kuasa tempur tiga Briged bagi mempertahankan kawasan tanggungjawab tentera yang luas di negeri ini daripada sebarang jenis ancaman.

“Pengiystiharan ini amat bermakna bagi seluruh warga Batalion Kesepuluh Rejimen Diraja kerana istiadat ini merupakan pengiktirafan kepada batalion ini sebagai sebuah BTS yang bersedia membantu pasukan sahabat yang lain.

“Pengisytiharan pengoperasian ini juga akan mengukuhkan lagi kesiapsiagaan formasi Briged Ketiga Infantri Malaysia dalam melaksanakan tugas-tugas operasi di kawasan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan upacara perbarisan pengisytiharan pengoperasian Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja di Kem Muara Tuang dekat sini, semalam.

Hadir sama Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Md Yusof Aziz serta pegawai-pegawai kanan daripada Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dan Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia.

Selain itu, Stephen berkata pengisytiharan pengoperasian kepada Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja itu juga akan membantu dalam memperkasakan lagi kawalan sempadan negeri ini.

“Pengiystiharan pengoperasian ini akan membolehkan Divisyen Pertama mampu menjalankan operasi di sempadan dengan lebih berkesan melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di Sarawak,” katanya.

Menyingkap kembali sejarah ringkas penubuhan pasukan ini, Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja telah ditubuhkan pada 1 Januari 1980 dengan penempatan pertamanya adalah di Kem Tasik Biru, Bau (tahun 1980), Kem Syed Putra, Ipoh (tahun 1988), Kem Oya, Sibu (tahun 1991) sebelum dibubarkan pada 12 Julai 1995.

Berhubung perkembangan lain, Stephen berkata beliau akan mengadakan kunjungan hormat terhadap rakan sejawatannya di Pontianak, Indonesia bagi membincangkan isu sempadan khususnya melibatkan kawasan Tanjung Datu.

Pada masa sama, beliau menambah kunjungan hormat tersebut juga bagi menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak ketenteraan negara jiran itu khususnya dari segi perkongsian maklumat, komunikasi, latihan ketenteraan, diplomasi ketenteraan dan sebagainya.

“Apa yang penting ialah kita mengukuhkan hubungan dari segi ketenteraan,” katanya.