MOF perlu lantik segera firma audit

0

PAC: Audit penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2015

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam mencadangkan supaya Kementerian Kewangan (MOF) segera melantik firma peng-auditan bagi mengaudit penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun berakhir 31 Mac 2015.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata berdasarkan prosiding yang dilakukan bersama Firma Pengauditan Deloitte & Co semalam, mereka hanya bertanggungjawab mengaudit penyata akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2014.

“Kini sudah Jun 2015 dan sepatutnya ada satu lagi akaun yang belum disediakan. Bila kita bertanya kepada Deloitte kelmarin, mereka berkata tidak menerima arahan daripada pemegang kepentingan iaitu MOF untuk memulakan pengauditan.

“MOF sebagai pemegang kepentingan perlu melaksanakan tanggungjawab untuk mula mengarahkan pihak terbabit menjalankan pengauditan. Mereka perlu memanggil juruaudit secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen semalam.

Jelasnya, selepas pengauditan dilakukan Deloitte yang berakhir pada 31 Mac tahun lepas, ada 15 bulan yang memungkinkan berlaku pelbagai acara yang memerlukan seseorang untuk mengesah-kannya.

Nur Jazlan berkata sebagai sebuah syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), 1MDB perlu memastikan penyata kewangan mereka sentiasa dikemas kini.

“Kini sudah 11 Jun, hampir tiga bulan dan sebagai syarikat senaraian awam, akaun syarikat sepatutnya dah disedia-kan. Saya jangkakan menjelang 30 Jun, akaun sepatutnya sudah sedia, namun kelmarin Deloitte berkata mereka tidak menerima arahan, dan sudah pasti mereka (1MDB) tidak menyediakan akaun untuk tiga bulan itu,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyangkal laporan media yang mengatakan pihaknya berpuas hati terhadap penjelasan yang diberikan Deloitte dalam prosiding kelmarin.

“Saya tak kata kita puas hati dengan penjelasan mereka. Tetapi bila kita tanya mereka, mereka kata ‘kami pertahan-kan pengauditan kami’…maknanya mereka mempertahankan penjelasan mereka setakat penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2014,” katanya.

Ditanya mengenai prosi-ding yang dilakukan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melibatkan agensi di bawahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Nur Jazlan berkata ia membabitkan isu pengurusan perolehan pera-bot bagi cadangan Pembangunan Semula Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam, Johor berjumlah RM760,150.

Jelasnya Jabatan Audit Negara mendapati terdapat ‘pembayaran yang tidak wajar’ berlaku, dan mengesan terdapat dokumentasi yang tidak lengkap melibatkan pembelian itu yang bertarikh 24 dan 27 Dis 2013.

“Mengikut perolehan kerajaan, pembayaran hanya boleh dibuat selepas barang yang dipesan diterima sepenuhnya. Dalam prosiding tersebut mereka mengakui bahawa pegawai mereka tidak cekap, kurang pengetahuan dalam isu perbendaharaan dan perolehan kerajaan,” katanya.

Oleh itu, KDN dan PDRM telah merangka usaha untuk mempertingkat lagi kecekapan pegawai mereka dalam pengurusan perolehan kerajaan, termasuk memberi kursus untuk mendidik anggota mereka yang terlibat dalam perolehan dan menyebarkan manual perolehan kepada KDN secara menyeluruh.

“Kita berpuas hati terhadap cadangan penambahbaikan untuk mengelak perkara ini berulang. Pada waktu yang sama, PAC minta tindakan tegas diambil terhadap pegawai yang terlibat dalam isu pembayaran tidak wajar ini.

“Setakat ini mereka telah dihadapkan ke Lembaga Tatatertib PDRM. Kami mahu tindakan diambil ke atas pegawai terbabit,” katanya yang turut dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan terhadap mereka yang terlibat.

Nur Jazlan berkata PAC akan memanggil semula KDN pada prosiding akan datang bagi mendengar penjelasan berhubung isu pengurusan kuarters untuk PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia. — Bernama