Penduduk Sebakong, Bauh mohon tangguh penutupan jalan utama

0

SIBU: Penduduk di 28 rumah panjang di kawasan Sebakong dan Bauh mohon campur tangan pihak berkuasa supaya menangguh tindakan syarikat perladangan yang berhasrat menutup terus jalan raya menghubungkan mereka dengan bandar Selangau.

Tuai Rumah Asin Aji, 55, ketika ditemui memberitahu bahawa penduduk di kedua-dua kawasan itu mengadakan rundingan dengan syarikat terbabit supaya membatal hasrat menutup jalan berkenaan.

Ini kerana tindakan syarikat itu akan menjejaskan kehidupan harian mereka memandangkan jalan berkenaan satu-satunya penghubung ke bandar Selangau.

“Selain menghantar surat ditandatangani tuai rumah dan penduduk, kami juga mengadakan rundingan terus dengan wakil syarikat perladangan berkenaan. “Namun rayuan kami tidak diterima dengan alasan wakil syarikat terbabit hanya menurut arahan pihak atasan,” katanya.

Menurut Asin, selepas rayuan mereka tidak diendahkan satu laporan polis telah dibuat untuk menghalang syarikat berkenaan daripada terus menutup jalan.

Selain itu, mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan di Selangau untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Jelas Asin, ketika syarikat itu mahu memaju tanah di kawasan berkenaan penduduk tidak pernah meminta satu sen.

Ini kerana mereka benar-benar ingin jalan raya yang bukan sahaja memudahkan penduduk kampung ke bandar Selangau tetapi juga ke sekolah iaitu SK Kampung Sau dan SK Kuala Menyana.

Justeru beliau berharap masalah mereka mendapat perhatian serius daripada pihak berkenaan termasuki wakil rakyat mereka.