Lawatan tinjau aktiviti akuakultur di Lawas

0

Oleh Hamimi Kassim //

LEPAS: Belayong melepaskan benih ikan ke dalam sangkar projek ‘Touch Point’ di Kampung Punang.

LEPAS: Belayong melepaskan benih ikan ke dalam sangkar projek ‘Touch Point’ di Kampung Punang.

PENGARAH Jabatan Perikanan Laut Sarawak Belayong Nyuak mengadakan lawatan ke Daerah Lawas pada 16 hingga 17 Mei lalu.

Semasa lawatan tersebut, empat kawasan dikenal pasti berpotensi dimajukan sebagai tapak aktiviti akuakultur seperti Kampung Punang, Awat-Awat, Bukit Sari dan Kuala Lawas.

Malah, kawasan tersebut telah pun mempunyai aktiviti penternakan ikan dalam sangkar yang sedia ada.

Menurut Belayong, program lawatan turun padang itu adalah untuk meninjau seterusnya mengenal pasti tapak atau kawasan berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pembangunan akuakultur.

Manfaat daripada lawatan itu juga, beliau dapat mendengar secara langsung pandangan dan pendapat serta permasalahan yang dihadapi oleh para penternak ikan.

Malah, beliau turut dijemput melakukan pelepasan benih ikan siakap ke dalam sangkar projek ‘Touch Point’ jabatan di Kampung Punang, melawat ke Pejabat Perikanan Laut Daerah Lawas di Awat-Awat dan berjumpa dengan pegawai serta kakitangan jabatan di situ.

Sepanjang lawatan tersebut juga, pihak jabatan telah mengenal pasti beberapa permasalahan yang dihadapi oleh penternak ikan di Daerah Lawas.

Antaranya ialah kekurangan bekalan benih, harga makanan ikan atau ‘fi llet’ terlalu mahal, kes kecurian dan permohonan pemilik sangkar terlibat bencana banjir bagi membaiki sangkar yang rosak (selain daripada peruntukan benih).

Hasil daripada lawatan tersebut beberapa syor telah dicadangkan Belayong seperti pembaharuan dalam industri akuakultur di Daerah Lawas memandangkan keadaan sangkar yang tidak begitu terurus dan terbiar di beberapa kawasan.

“Selain itu, sistem kluster perlu diperkenalkan supaya industri akuakultur di daerah ini lebih terurus dan terkawal.

“Bukan itu sahaja, sangkar HDPE diperkenalkan di kawasan Bukit Sari memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan,” jelasnya.

Tambah beliau, spesies baharu di kawasan Bukit Sari perlu diperkenalkan seperti ikan kerapu, balat (gamat) dan rumpai laut.

Satu Program Pengukuhan melibatkan semua peserta projek bimbingan diadakan di Daerah Lawas untuk memberi semangat dan keyakinan kepada para penternak ikan di samping mendedahkan mereka tentang keperluan dalam industri akuakultur.

“Bukan itu sahaja, pengawasan dan pemantauan ke atas Projek Bimbingan Akuakultur perlu dijalankan secara berjadual untuk membolehkan maklumat serta data pendaratan dapat direkod bagi memudahkan perancangan selanjutnya dilaksana.

“Kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan di kawasan Bukit Sari bagi mengenal pasti spesies ternakan yang sesuai serta kawasan untuk melabuhkan tukun tiruan,” jelasnya.

BERHASIL: Sangkar penternakan ikan siakap di Kampung Awat-Awat.

BERHASIL: Sangkar penternakan ikan siakap di Kampung Awat-Awat.