Belia Kampung Tunku akan mempunyai padang futsal

0

KUCHING: Penduduk di Kampung Tunku terutama golongan belia tidak perlu lagi bimbang mencari tempat untuk bermain futsal apabila tapak untuk projek pembinaan padang futsal di situ telah diluluskan.

Berita gembira itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada penyerahan rasmi Dewan Masyarakat Petra Jaya Kampung Tunku di sini semalam.

“Pihak perumahan telah meluluskan tapak untuk kita membina padang futsal berhadapan dengan dewan ini dan kita hanya menunggu surat rasmi untuk membolehkan ia dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Hasidah yang juga setiausaha politik Ketua Menteri turut mengumumkan dana sebanyak RM150,000 untuk membaik pulih dewan masyarakat tersebut.

“Saya berharap apabila siap kerja membaik pulih dewan ini, jawatankuasa yang telah dilantik akan menjaganya dengan baik untuk kegunaan penduduk di kawasan ini,” tambahnya.

Beliau memberitahu, terdapat jawatankuasa yang menjaga dewan di negeri ini tidak menjaga kemudahan itu dengan baik.

“Kita banyak menerima permohonan daripada penduduk kampung untuk membina dewan masyarakat tetapi apa yang menjadi kekesalan pada saya terdapat jawatankuasa yang dilantik untuk menjaga kemudahan ini tidak menjaganya dengan baik.

“Malah ada dewan yang baharu sahaja dibina telah rosak kerana tidak dijaga dengan baik,” katanya yang berharap jawatankuasa Dewan Masyarakat Petra Jaya Kampung Tunku memelihara dan menjaga dewan itu sebaik-baiknya.

Pada masa sama beliau memberitahu bahawa dengan penyerahan dewan masyarakat itu kepada penduduk Kampung Tunku, ia akan memudahkan penduduk di situ menganjurkan program dan aktiviti untuk masyarakat di situ.

“Saya harap dewan ini dapat digunakan sebaik mungkin dengan penganjuran aktiviti dan program bermanfaat khususnya melibatkan golongan belia di sini,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Kaum Kampung Tunku Awang Supian Awang Juaini.