Skuad bola keranjang meraih emas ke-60 Sukan SEA

0

SINGAPURA: Skuad bola keranjang wanita menghadiahkan pingat emas ke-60 kontinjen negara pada temasya Sukan SEA ke-28 di sini semalam.

Malaysia mengesahkan pingat emas itu setelah menewaskan Vietnam 82-50 dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk muncul juara saingan liga yang disertai enam pasukan.

Skuad bimbingan Yoong Sze Yuin itu melengkapkan jadual liga satu sepusingan dengan empat kemenangan dan tewas sekali.

“Ini suatu pencapaian yang terbaik buat kami. Skuad ini mula dipersiapkan pada hanya Mac lepas. Hanya lima pemain daripada skuad Sukan SEA Myanmar dan yang lain-lain adalah muka baharu.

“Tujuan saya membawa pemain-pemain muda ini adalah untuk pendedahan dan persiapan bagi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017,” kata Yoong.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas ialah pada edisi 2007 di Thailand dan meraih gangsa pada dua edisi berikutnya di Indonesia (2011) dan Myanmar (2013).

Ketika di Laos, acara bola keranjang digugurkan kerana tuan rumah kekurangan kemudahan sukan. — Bernama