Kerajaan perkenal Skim Pinjaman Perumahan Mutiara

0

Ia sebagai satu lagi pendekatan membantu golongan berpendapatan rendah di negeri ini: Abg Johari

Oleh Jessica Jawing //

SIMBOLIK: Abang Johari menandatangani plak logo Skim Pinjaman Perumahan Mutiara sebagai simbolik pelancaran sambil disaksikan Abdul Karim (kiri), Ahmad Tarmizi (tiga kiri) serta tetamu jemputan lain.

SIMBOLIK: Abang Johari menandatangani plak logo Skim Pinjaman Perumahan Mutiara sebagai simbolik pelancaran sambil disaksikan Abdul Karim (kiri), Ahmad Tarmizi (tiga kiri) serta tetamu jemputan lain.

KUCHING: Kementerian Perumahan memperkenalkan skim pinjaman perumahan baharu iaitu  Skim Pinjaman Perumahan Mutiara sebagai satu lagi pendekatan membantu golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, skim berkenaan khususnya diadakan bagi memenuhi keperluan kewangan kumpulan berpendapatan rendah membeli dan memiliki rumah sendiri.

“Skim ini dibiayai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dengan sokongan daripada Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia dan ia menyasarkan pemohon dengan pendapatan seisi rumah kasar RM5,000 sebulan dan ke bawah.

“Had pembiayaan adalah sehingga 95 peratus kerana kami juga ingin melihat komitmen di kalangan peminjam untuk membayar pendahuluan minimum bagi mendapatkan pinjaman,” katanya.

Tambah beliau, skim berkenaan membolehkan pinjaman antara generasi di kalangan ahli keluarga bagi memastikan mereka mampu membayar balik bayaran bulanan.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Skim Pinjaman Perumahan Mutiara yang dihadiri Pengerusi Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd Dato Sri Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di sini, semalam.

Skim yang akan diuruskan Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik sepenuhnya Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) itu turut dibuka kepada pemohon masih bujang dengan syarat berusia 30 tahun dan ke atas.

Abang Johari memberitahu, pada peringkat awal skim berkenaan akan dibuka kepada projek Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu sebuah projek kerajaan yang dijalankan menerusi pembiayaan persekutuan.

“Ini termasuk antara lain PPR Lambir, Miri yang akan siap tidak lama lagi, PPR Sungai Tengah Matang dan PPR Petra Jaya, Kuching.

“Liputan skim akan diperkembangkan pada masa depan selepas kita memperolehi pembiayaan tambahan sama ada daripada kerajaan sendiri atau daripada sumber luar lain.

“Dengan menjangkakan permintaan yang tinggi bagi pinjaman ini, Mutiara Mortgage mungkin akan meneroka kemungkinan untuk mendapatkan pembiayaan daripada pasaran wang,” katanya.

Meskipun Mutiara Mortgage menyediakan talian hayat kewangan kepada pembeli rumah berpotensi, bagaimanapun institusi kewangan dan perbankan perlu terus memainkan peranan dalam menyediakan pembiayaan kepada pembeli di bawah skim masing-masing.

Menurut Abang Johari, Skim Pinjaman Perumahan Mutiara menawarkan diri sebagai alternatif, bukan pengganti kepada skim pinjaman sedia ada di pasaran.

Ia kerana kata beliau, walaupun syarikat mahu membantu seramai mungkin peminjam berpendapatan rendah, sumbernya ternyata terhad dan ada kekangan.