Politeknik Kuching diyakini mampu melahirkan tenaga kerja separa mahir

0

KUCHING: Politeknik Kuching diyakini dapat menyumbang ke arah melahirkan sebahagian besar daripada tenaga kerja separa mahir seiring dengan keperluan semasa Sarawak menjelang 2030 nanti.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini kerajaan masih berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang teknikal bagi mengisi keperluan industri.

“Pihak swasta khasnya para pelabur asing di Malaysia masih bergantung kepada pekerja dari negara luar bagi tujuan tersebut.

“Sebagai contoh, syarikat Tokuyama, Sakura Ferroalloys dan Press Metal di Taman Industri Samalaju, Bintulu masing-masing berhadapan dengan masalah kesukaran mendapatkan pekerja tempatan dan oleh itu, mereka terpaksa mencari alternatif dengan mengambil pekerja asing untuk beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal Pelajar Sesi Jun 2015 yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Politeknik Kuching di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Sahul Hamed Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Akademik Mohd Anwar Dris, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Jemein Ental dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Saripah Siti Zulaini Wan Abdul Rahman.

Kewujudan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sejak 2006 merupakan wawasan 2030 kerajaan negeri bagi menjadikan Sarawak sebagai negeri terkaya di Malaysia.

SCORE meliputi kawasan seluas 70,100 kilometer persegi berjaya menarik pelabur asing terutama dari Jepun dan China dan apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak ia akan menjana sebanyak 2.5 juta peluang pekerjaan.

Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga mengambil serius usaha melahirkan tenaga mahir dan separa mahir tempatan dalam bidang berkenaan sebagai persediaan memenuhi permintaan pihak industri di kawasan SCORE khasnya di Taman Industri Samalaju.

Menurutnya, ia dicerminkan daripada langkah jangka panjang yang diambil dengan mempergiatkan program promosi Latihan dan Pendidikan Dalam Bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) di kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh negeri.

Usaha merealisasikan pelan jangka panjang itu katanya, turut disokong oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di mana beberapa siri jelajah dianjurkan bagi menarik minat para pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan pengurusan akademik supaya tidak memberi fokus kepada kelulusan akademik semata-mata tetapi juga harus memikirkan pendekatan realistik dalam melahirkan graduan yang memiliki kemahiran lain bagi menepati cita rasa majikan.

Institusi itu katanya harus mampu melahirkan graduan yang memiliki pelbagai kemahiran iaitu pakej lengkap dalam kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, berketerampilan, berkeyakinan dan mempunyai sifat kepimpinan tinggi.

“Kita sering kali mendengar pendedahan pihak tertentu bahawa kekurangan soft skills di kalangan graduan menjadi punca utama mereka gagal mendapat pekerjaan dalam sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Sahul berkata seramai 1,015 pelajar telah mendaftar bagi mengikuti pengajian yang akan bermula pada 22 Jun ini.

Daripada jumlah tersebut katanya, 258 orang akan mengikuti bidang Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam (220), Kejuruteraan Elektrik (140), Teknologi Maklumat (119), Kejuruteraan Petrokimia (116), Pengajian Perniagaan (98) dan Perakaunan (64).