Thursday, July 7

LPKP Sabah kaji semula tambang teksi

0

SANDAKAN: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah sedang dalam proses kajian semula tambang teksi di negeri ini bagi melihat kadar tambang yang relevan dengan keadaan semasa.

Kadar tambang teksi di Sabah tidak pernah dinaikkan sejak tahun 2009, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin di persidangan Dewan Rakyat kelmarin.

Linda dalam soalan lisan, telah meminta Perdana Menteri menyatakan bila kenaikan tambang teksi di Sabah boleh dilaksanakan dan bagaimana penggunaan ‘kereta sapu’ dan kereta sewa tanpa lesen boleh dikawal.

Nancy memberitahu sebarang cadangan kenaikan kadar tambang akan diteliti agar tidak membebankan mana-mana pihak dan pada masa yang sama menaikkan imej dan mutu perkhidmatan teksi di negeri Sabah.

Sementara itu, Nancy menegaskan LPKP Sabah sentiasa melaksanakan operasi secara berterusan dan bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain seperti pihak Polis diRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membanteras penggunaan kereta sapu dan kereta sewa tanpa lesen.