Pengezonan kawasan selamat usaha terbaik

0

Mengambil kira semua aspek keselamatan untuk mendiami rumah, kawasan gempa bumi

KOTA KINABALU: Pengezonan kawasan selamat di kampung yang kritikal terjejas akibat gempa bumi pada 5 Jun lalu di Kota Belud merupakan usaha terbaik memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah Mustafar Hamza berkata usaha yang dicadangkan pegawai daerahnya Abdul Gari Itam itu mengambil kira semua aspek keselamatan untuk mendiami rumah dan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kawasan kritikal itu membabitkan tiga buah kampung di kaki Gunung Kinabalu iaitu Kampung Kiau Teburi, Kampung Kiau Nuluh dan Kampung Kiau Bersatu.

Katanya, ketika ini JMG sedang memfokuskan kajian di tiga kawasan berkenaan dengan satu pasukan telah digerakkan untuk menentukan keselamatan kawasan itu.

“Kita telah hantar satu pasukan pakar dari segi geologi kejuruteraan untuk meninjau kawasan berkenaan dan kita akan tambah satu pasukan lagi.

“Fokus kajian kita sudah mulakan sejak minggu lepas dan masih berjalan sehingga ke hari ini dan akan berterusan sehingga kita berpuas hati dengan liputan kajian,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Sementara itu, katanya JMG turut mengambil perhatian terhadap kawasan terjejas yang lain bagi pengezonan kawasan selamat namun ketika ini tumpuan diberikan kepada kawasan kritikal.

Sebelum ini, Ketua Unit Sumber Mineral JMG Jontih Enggihon berkongsi maklumat strategi jangka masa pendek untuk memantau kawasan terjejas gempa.

Beliau berkata dalam tempoh itu, penduduk perlu memeriksa jarak 100 meter di sekitar kawasan rumah masing-masing.

Mereka hendaklah menutup sebarang rekahan pada kawasan terbabit dengan menggunakan tanah liat sebelum diletakkan kanvas di atasnya bagi mengelakkan air hujan masuk ke dalam rekahan.

“Rekahan yang terdedah dengan air hujan boleh menyebabkannya membesar dan berbahaya,” katanya. — Bernama