Permohonan sukarelawan Sukan SEA 2017 akan dibuka

0

KUALA LUMPUR: Permohonan untuk menjadi sukarelawan Sukan SEA 2017 akan dibuka dalam masa terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ribuan sukarelawan diperlukan apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada temasya dwitahunan itu.

“Dalam masa terdekat kita akan buka permohonan untuk sukarelawan Sukan SEA 2017.

Kalau minat, saya harap anda akan tampil untuk menjadi sebahagian daripada Team Malaysia.

“Mari kita jadikan Sukan SEA 2017 yang terbaik,” katanya dalam entri terbaru di laman Facebook beliau semalam.

Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Sukan SEA 2017 berkata segala persiapan untuk menjuarai keseluruhan Sukan SEA dan berjaya dari segi penganjuran telah pun bermula.

Pada November 2011, Khairy mengesahkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 selepas jemaah menteri meluluskan pembentangan di Mesyuarat Jemaah Menteri walaupun jika mengikut sistem penggiliran sepatutnya Malaysia menjadi tuan rumah pada 2019.

Temasya 2017 sepatutnya giliran Brunei, tetapi negara jiran itu meminta penangguhan daripada Persekutuan Sukan SEA.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah sebanyak enam kali sejak tahun 1965 dan 1971 yang mana pada ketika itu ia dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).

Selepas Persekutuan SEAP menukar nama kepada Pertubuhan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan temasya dwi tahunan itu dikenali sebagai Sukan Asia Tenggara, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah pada 1977, diikuti 1989 dan 2001.

Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya 2001 apabila meraih 111 pingat emas, 98 perak dan 86 gangsa.  — Bernama