Monday, July 4

Sarawak terlepas peluang

0
KAWAL: Pemain import Sarawak, Nyema Patrick Garhard (kiri) cuba mengawal bola daripada pemain import Perak, Charles Sauza Chad pada saingan Liga Super 2015 di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin. — Gambar Bernama

KAWAL: Pemain import Sarawak, Nyema Patrick Garhard (kiri) cuba mengawal bola daripada pemain import Perak, Charles Sauza Chad pada saingan Liga Super 2015 di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin. — Gambar Bernama

Gagal merapatkan diri dalam kelompok pasukan teratas selepas terikat 1-1 dengan Perak

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Sarawak gagal memanfaatkan peluang untuk merapatkan diri dalam kelompok pasukan teratas setelah terikat 1-1 dengan Perak pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin.

Pelawat terlebih dahulu di depan pada minit ke-58 hasil jaringan Woong Namkung sebelum penyerang import Sarawak, Ryan Griffiths menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Sarawak seharusnya mengucapkan terima kasih kepada penjaga gol, Mohd Iqbal Suhaimi yang bertindak cemerlang mematahkan deretan percubaan berbahaya jentera serangan Perak.

Perlawanan yang disaksikan lebih 4,000 penyokong setia itu penuh dengan aksi serang-menyerang oleh kedua-dua pasukan sebaik wisel pertama dibunyikan.

Sarawak beroleh peluang terbaik untuk memimpin perlawanan pada minit ke-24 namun jaringan Ashri Chuchu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abdul Wahab.

Ini kerana, pengadil perlawanan mendakwa Ryan terlebih dahulu mengkasari penjaga gol Perak, Muhd Zamir Selamat.

Jentera serangan import Sarawak diketuai Billy Mehmet, Ryan dan Ivan Fatic tampak buntu mencari jaringan sepanjang babak kedua.

Kemasukan Joseph Kalang Tie merubah nasib Ngap Sayot menerusi gerakan lincahnya yang berjaya memperdaya pertahanan lawan sebelum membuka laluan untuk Ryan menjaringkan gol penyamaan.

Pengendali Sarawak, Robert Alberts mengakui bahawa persembahan itu cukup sengit dengan kedua- dua pasukan dilihat berpeluang memenangi perlawanan.

“Apapun, kita akur dengan satu mata yang diperolehi ini walaupun kecewa kerana berpeluang untuk memenanginya.

“Kredit untuk Perak yang sememangnya pasukan yang konsisten dan hampir mengecewakan kita dengan beberapa percubaan cukup berbahaya,” katanya ditemui selepas perlawanan Alberts turut memuji aksi Iqbal sebagai ‘Man Of The Match’ perlawanan itu selepas membantu menyelamatkan Sarawak daripada diaibkan pasukan pelawat.

Sarawak  mengakhiri pusingan pertama liga dengan menduduki tangga kesembilan liga mengumpul sebanyak 13 mata.

Skuad Ngap Sayot akan bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk menentang Perak pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super esok (Selasa) bermula jam 10 malam.