Sukan SEA: Pencapaian atlet-atlet Sarawak membanggakan

0

KUCHING: Atlet-atlet kebangsaan dari Sarawak membanggakan negeri dan negara dengan membantu kontinjen Malaysia memenangi pingat pada Sukan SEA ke-28 di Singapura yang berakhir kelmarin.

Wushu menyumbangkan dua pingat emas, tiga perak dan empat gangsa yang membolehkan Malaysia menduduki tempat keempat secara keseluruhan dengan jumlah pingat sebanyak 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa.

Tiga atlet Sarawak dalam skuad wushu negara ialah Diana Bong dan Audrey Chan dari Kuching serta Loh Jack Chang dari Miri.

Loh memenangi emas dalam kategori ‘taijiquan’ lelaki dan perak dalam ‘taijijian’ lelaki manakala Audrey bergandingan dengan Aggie Cheah dan Chan Lu Yi untuk memenangi emas dalam acarav ‘duilian barehand’ wanita.

Pingat perak lain turut disumbangkan oleh Chan Lu Yi dalam ‘taijiquan’ wanita.

Lu Yi kemudian memenangi pingat ketiganya apabila menduduki tempat ketiga dalam ‘taijijian’ wanita.

Diana merupakan atlet pilihan memenangi ‘nandao’ wanita dan gabungan ‘nanquan’ bagaimanapun pulang dengan tangan kosong kerana melakukan beberapa kesilapan semasa pertandingan menyebabkan beliau kehilangan sejumlah mata.

Bagaimanapun, atlet berusia 29 tahun itu menerima anugerah ‘Ikon Sukan’ daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Dewan Suarah Bintulu pada 13 Jun lalu.

“Kami bangga dan gembira dengan pencapaian para atlet kita pada Sukan SEA di mana Jack Chang dan Audrey membantu Malaysia memenangi dua emas.

“Bagi Diana, ia amat malang apabila beliau terlalu banyak kesilapan dan kami berharap beliau boleh melakukan yang lebih baik pada Sukan SEA yang bakal dihoskan Malaysia pada 2017 nanti,” kata Ting.

Beliau turut tidak berpuas hati dengan pemilihan atletatlet negara kerana tidak dilakukan secara profesional dan sistematik.

“Sebenarnya, seorang lagi atlet Sarawak iaitu Gjeblehem Bong disyorkan dan dipilih oleh jurulatih kebangsaan tetapi jawatankuasa pemilihan menggugurkannya dan mengambil Yap Zheng Yen dari Johor,” kata Ting sambil menambah pemilihan atlet kebangsaan perlu dilakukan oleh jurulatih dan bukannya jawatankuasa pemilihan.

“Jawatankuasa pemilihan tidak seharusnya membatalkan keputusan jurulatih dan tambahan pula jawatankuasa itu tidak mempunyai mesyuarat mengenai perkara itu.

“Ini adalah amat menyedihkan Gjeblehem tidak dipilih ke Sukan SEA kali ini, jika tidak beliau mungkin boleh menyumbangkan pingat juga,” kata Ting.