Tikus: Lima pasar awam KL kritikal

0

Dalam tempoh sebulan, kira-kira 6,000 ekor tikus berjaya ditangkap: DBKL

KUALA LUMPUR: Pasar Borong Selayang dan Pasar Chow Kit antara lima lokasi pasar awam di ibu negara yang dilabel sebagai tempat pembiakan tikus dan dikhuatiri boleh terdedah kepada risiko penyakit pembawa maut, Leptospirosis atau kencing tikus.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mariappan Chinniah berkata tiga lagi pasar awam terbabit ialah Pasar Pudu, Pasar Sentul dan Pasar Keramat.

“Kami jalankan operasi menangkap tikus (di pasar-pasar itu) lima kali seminggu dan sehari kami guna lebih 50 perangkap tikus dan kebiasaannya penuh,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mariappan berkata dalam tempoh sebulan, pihaknya berjaya menangkap kira-kira 6,000 ekor tikus di kelima-lima pasar tersebut dengan purata tangkapan sehari di setiap pasar boleh mencecah sehingga 50 ekor tikus.

Jumlah itu, katanya tidak pernah berubah lebih lima tahun lalu.

Malah, katanya, pasar-pasar ini juga didapati merupakan tempat sarang tikus membiak dengan wujudnya berpuluh-puluh lubang tikus yang aktif dikesan.

Mariappan berkata populasi tikus lebih aktif di kawasan pasar dan bukannya di rumah kediaman, lebih-lebih lagi di pasar yang persekitarannya tidak terurus dan kotor.

“Faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kehadiran tikus yang banyak di pasar ialah air, sisa makanan serta tempat perlindungan seperti lubang yang dibuat di dalam longkang,” katanya.

Wartawan Bernama yang mengikuti operasi Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKL menangkap tikus di Pasar Pudu pada Jumaat lepas terkejut apabila dalam tempoh kurang lima minit selepas perangkap yang diletakkan dengan umpan isi kelapa, tujuh ekor tikus berwarna perang dan bersaiz sederhana masuk jerat.

Persekitaran Pasar Pudu begitu kotor sekali dengan usus dan perut ayam bersepah di atas lantai manakala longkang yang menyalurkan air dari dalam pasar ke luar tersumbat akibat dipenuhi dengan organ dan darah ayam.

Tikus juga kelihatan berlari-lari di lantai pasar, dan mengikut anggaran kepadatan tikus, situasi tersebut menunjukkan bilangan tikus yang mungkin terdapat dalam lokaliti tersebut lebih daripada 1,000 ekor.

Operasi berlangsung kira-kira tiga jam itu berjaya memerangkap lebih 30 ekor tikus pelbagai saiz.

Mariappan berkata DBKL kerap menjalankan operasi kawalan tikus untuk menjadikan kawasan ini sifar tikus tetapi semuanya bergantung kepada sikap peniaga dan penjaja sendiri.

“Sistem pelupusan sampah sepatutnya dilakukan dengan betul dan teratur contohnya menggunakan tong sampah bertutup serta membuang sampah di dalam tong, bukannya di tepi tong sampah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan operasi kawalan tikus di kawasan pasar merupakan tugas yang paling sukar kerana penggunaan racun tikus tidak boleh dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada makanan yang dijual.

Berdasarkan statistik tangkapan tikus Unit Kawalan Pest DBKL tahun lepas, sebanyak 54,370 tikus telah berjaya ditangkap.

Namun dari Januari hingga Mei tahun ini, jumlah tangkapan tikus adalah paling tinggi iaitu sebanyak 13,294 ekor berbanding tahun lepas kurang daripada 12,000 ekor, dalam tempoh yang sama. — Bernama