Monday, January 24

KK1M Zon Sarawak berjaya bedah 124 pesakit katarak

0

Oleh Jessica Jawing //

SARINGAN: Orang ramai yang datang menjalani pemeriksaan saringan sebelum pembedahan di Hospital Serian, baru-baru ini.

SARINGAN: Orang ramai yang datang menjalani pemeriksaan saringan sebelum pembedahan di Hospital Serian, baru-baru ini.

PASUKAN Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) Zon Sarawak baru-baru ini berjaya menjalankan pembedahan ke atas seramai 124 orang pesakit berkaitan.

Daripada jumlah itu, 98 orang berjaya menjalani pembedahan katarak dengan pengimplanan kanta intraokular sementara 26 orang pesakit bagi pembedahan pterygium.

Menurut jurucakap program, pembedahan berkenaan dilakukan selama dua hujung minggu iaitu pada 12 dan 13 Jun serta 19 dan 20 Jun bertempat di Hospital Serian.

“KK1M berada di Hospital Serian selama dua minggu iaitu dari 8 hingga 21 Jun 2015, di mana setiap hari biasa kami menawarkan perkhidmatan untuk saringan pemeriksaan mata.

“Sementara pada hujung minggu kami menjalankan pembedahan ke atas pesakit yang layak dan ini kali kelima kami berada di Serian semenjak KK1M dilancarkan pada September 2013,” katanya kepada Utusan Borneo di Kuching, baru-baru ini.

Bagi orang ramai yang mahu membuat pemeriksaan mata atau katarak, pasukan KK1M selepas ini akan berada di Hospital Sri Aman juga selama dua minggu iaitu 29 Jun hingga 9 Julai 2015.

Sementara pembedahan ke atas mereka yang layak dilakukan pada dua hujung minggu berkenaan iaitu 3 hingga 5 Julai dan 10 hingga 12 Julai 2015.

Sebaik sahaja melaksanakan tugas di Sri Aman, KK1M bergerak ke Hospital Betong iaitu pada 27 Julai hingga 6 Ogos juga selama dua minggu dan setiap hujung minggunya terdapat pembedahan dilakukan.

Diikuti di Hospital Saratok pada (17 hingga 27 Ogos), Hospital Simunjan (7 hingga 17 September), Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS) pada 28 September hingga 8 Oktober, Hospital Lundu (19 hingga 29 Oktober), Hospital Bau (16 hingga 26 November) dan Hospital Serian (7 hingga 17 Disember).

KK1M dilancarkan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan oftalmologi yang mudah diperolehi sama rata kepada semua lapisan masyarakat bagi mencegah kebutaan dan mengawal kebutaan yang dapat dielak.

Ia khususnya bagi penyakit katarak, rabun penglihatan serta penyakit retina dan antara perkhidmatan yang disediakan di KK1M adalah saringan katarak, rabun penglihatan, glaukoma dan diabetik ‘retinopathy’.

UNTUK RAKYAT: Pasukan KK1M yang akan bertugas untuk rakyat di hospital di beberapa bahagian di negeri ini.

UNTUK RAKYAT: Pasukan KK1M yang akan bertugas untuk rakyat di hospital di beberapa bahagian di negeri ini.