Rafizul bakal mewarnai jersi kriket kebangsaan

0

KUCHING: Pemain kriket remaja, Mohd Rafizul Radiman, 18, menjadi wakil tunggal Sarawak dipilih untuk menjalani tiga fasa pemilihan dan latihan berpusat di Kuala Lumpur.

Beliau antara 28 pemain disenarai pendek dalam skuad kebangsaan menjalani pemilihan bagi mencari 14 pemain yang bakal mewakili negara pada Liga Perdana Bawah 19 Tahun ACC di Lembah Klang, Kuala Lumpur dari 26 Ogos hingga 4 September depan.

Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohamad mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mohd Rafizul kerana dipilih menyertai sesi pemilihan dan latihan dalam skuad negara.

“Bagi pihak persatuan, kita berasa sangat bangga selepas melihat anak watan Sarawak diberi peluang untuk mengembangkan bakat dan kemahirannya di peringklat kebangsaan,” katanya.

Awang Mahyan berharap pemilihan Mohd Rafizul menjadi inpirasi dan dorongan kepada pemain-pemain muda lain agar berusaha lebih gigih untuk mencapai impian beraksi di pentas lebih tinggi.

Beliau juga berharap Mohd Rafizul dapat melepasi sesi pemilihan tersebut dan membantu negara memburu kejuaraan pada temasya sukan kriket antarabangsa itu.

Semua pemain dipilih pernah menyertai pasukan negeri sama ada Liga Bahagian 1 Bawah 19 Tahun Bauer, MSSM Bawah 18 tahun, Liga Antara Negeri Fast Track MCA atau Liga Perdana Malaysia Tier A.

Pemain-pemain akan mengikuti kem latihan pertama dari 5-12 Julai manakala sesi latihan kedua dari 24-30 Julai di di Kinrara Oval, Kuala Lumpur.

Sesi latihan akan dikendalikan oleh Thushara Kodikara sambil dibantu Suresh Navaratnam dan Priyankara Wickramarasinghe.

Mereka terpilih akan menjalani latihan fasa terakhir bermula dari 4 hingga 23 Ogos.