Yayasan, 10RRD buru gelaran

0

Perlawanan akhir Piala FA Samarahan 2015 bakal menyaksikan pertemuan menarik

Oleh Harry Ilias //

MEMBURU GELARAN: Yayasan Sarawak mahu menambah koleksi kejuaraan pada musim ini.

MEMBURU GELARAN: Yayasan Sarawak mahu menambah koleksi kejuaraan pada musim ini.

KUCHING: Perlawanan akhir Piala FA Samarahan 2015 bakal menyaksikan pertemuan menarik antara Yayasan Sarawak – Sanjung Etika dan 10RRD.

Yayasan Sarawak melangkah ke final selepas membelasah Sambir Bistari dengan 6-1 sementara 10RRD mencatat kemenangan 5-1 ke atas pencabarnya, Ocean Eagle Samarahan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Haidel Heli berkata Stadium Mini Samarahan akan menjadi venue pertembungan menarik itu pada 15 Ogos depan bermula jam 3 petang.

“Satu perlawanan menarik yang pasti ditunggu-tunggu peminat bola sepak tempatan. Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Saya percaya ia bakal menjanjikan aksi sengit kerana kedua-dua pasukan membariskan ramai pemain berstatus bintang,” kata Haidel di sini semalam.

Yayasan Sarawak ketika ini mendahului Liga Samarahan pastinya mahu memastikan kemenangan bagi menambah koleksi kejuaraan selepas kejayaan merangkul Piala Sumbangsih pada April lalu.

Dibimbing jurulatih ternama – Hasan Jahid, Yayasan Sarawak dipenuhi bekas pemain- pemain Sarawak dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan akhir itu.

Namun, ia bukan tugas mudah kerana 10RRD juga berada pada prestasi kemuncak dan bersedia beraksi sebaik mungkin untuk memburu kejuaraan sulung pada musim ini.