Lebih 200 penyokong DAP hadir Majlis ‘Ngiling Bidai’

0

SIBU: Lebih 200 penyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) menghadiri Majlis ‘Ngiling Bidai’ DAP Sibu di sini semalam.

Majlis itu dihadiri Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, Pengerusi Protem DAP Katibas Paren Nyawi dan Setiausaha Protem DAP Kapit Larry Asap.

Dalam ucapannya, Paren berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menyelesaikan isu kemudahan asas dihadapi penduduk terutama di kawasan Song dan Katibas.

“Kerajaan BN gagal menyelesaikan masalah kemudahan infrastruktur dihadapi penduduk luar bandar dan satu-satunya landasan bagi kami menyuarakan masalah menerusi DAP,” jelasnya.

Sementara itu, Ling meminta masyarakat Dayak menyokong DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata DAP harus berusaha menang pada PRN nanti setelah Pakatan Rakyat membentuk gabungan PKR, DAP dan PAS sudah rapuh.

Katanya pada PRN akan datang DAP meletakkan lebih banyak calon Dayak berbanding calon Cina di luar bandar untuk 30 kerusi dipertandingkan.

“Selama ini, kita turun padang ke luar bandar mendapatkan sokongan masyarakat Dayak.

“Diharapkan janji dan sokongan itu dapat diterjemahkan kepada undi apabila tiba masanya nanti,” ujarnya.

Wong menegaskan bahawa DAP bukan hanya milik masyarakat Cina sebaliknya sebuah parti mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Seperti hari ini, majoriti hadir adalah masyarakat Dayak.

“Ini memberi petunjuk baik dengan sokongan masyarakat Dayak. Kami (DAP) yakin menghadapi cabaran pada PRN akan datang,” katanya.