ATM terima sumbangan raya RM1.82 juta

0

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam menerima sumba-ngan berbentuk kewangan dan barangan berjumlah RM1.82 juta daripada pelbagai pihak sempena Aidilfitri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima sumbangan itu pada majlis yang diadakan di Wisma Pertahanan di sini.

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) menjadi penyumbang terbesar dengan anggaran kos barangan makanan sebanyak RM230,000, diikuti sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan, badan politik, pertubuhan sukarela dan syarikat-syarikat swasta.

Yang Dipertua BAKTI yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi menyampaikan sumbangan berkenaan.

Pada majlis itu, ATM turut menerima sumbangan zakat berjumlah RM1.403 juta daripada tiga badan korporat iaitu Affin Islamic Bank Berhad (RM700,000), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (RM353,000) dan Koperasi Tentera (RM350,000).

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata seramai 20,000 anggota akan bertugas pada musim perayaan ini di dalam dan luar negara terma-suk 911 pegawai dan anggota yang bertugas di bawah misi Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan, Mindanao, Afghanistan, Congo, Sudan, Sahara Barat dan Liberia.

Selain menyediakan beg sumbangan kepada anggota terbabit, beliau berkata sumbangan kewangan yang diterima semalam akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Angkatan Tentera bagi membantu kebajikan anggota ATM; balu serta tanggungan jika berlaku kematian, membantu kos pendidikan anak-anak anggota, dan menyediakan peralatan atau sokongan yang tidak dibiayai oleh peruntukan kerajaan.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapan balasnya berkata khidmat warga tentera pada waktu rakyat Malaysia merayakan Aidilfitri adalah satu pengorbanan suci yang jujur dan ikhlas.

“Semoga bungkusan yang dikirimkan ini dapat mengubat kerinduan terhada suasana Hari Raya bersama keluarga sekali gus menyemarakkan lagi semangat juang dan rela berkorban demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya mewakili BAKTI yang telah menyumbang kepada ATM sejak 1986. — Bernama