1MDB: Serahkan siasatan kepada pakar

0
SUMBANGAN RAYA: Wan Junaidi (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima. Turut kelihatan isterinya, Datin Seri Feona Wan Junaidi (dua kanan).

SUMBANGAN RAYA: Wan Junaidi (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima. Turut kelihatan isterinya, Datin Seri Feona Wan Junaidi (dua kanan).

Belum ada tangkapan berhubung kebocoran, pemalsuan dokumen dana 1MDB

Oleh Jeremy Veno //

KUCHING: Polis belum membuat sebarang tangkapan berhubung dengan kebocoran dan pemalsuan dokumen berkaitan dana 1MDB yang didakwa disalurkan ke akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, terdapat undang-undang dan protokol untuk dipatuhi meskipun kebocoran dokumen menunjukkan beberapa elemen kecil dipalsukan.

“Kesahihan dan kepalsuan dokumen tidak boleh dibuat kerana kini ia hanya ditafsirkan secara umum. Kita perlu menunggu siasatan lengkap sebelum kita boleh membuat kesimpulan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa kementeriannya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, untuk dokumen berkenaan diterima di mahkamah, ia bergantung kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

“Sehingga siasatan diselesaikan, baharulah kita boleh mengeluarkan kenyataan dan membuat pertuduhan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Santubong.

Wan Junaidi bekata, malahan Ketua Pegawai Eksekutif Bank CIMB Islamic Badlisyah Abdul Ghani mengakui ada ralat dibuat dalam analisis beliau untuk mempertikaikan dokumen Wall Street Journal(WSJ) berhubung dana 1MDB.

“Beliau (Badlisyah) kini sedang disiasat oleh pihak bank sendiri kerana membuat kenyataan yang tidak sepatutnya. Namun begitu ia masih dalam siasatan dan ia adalah tugas pakar, bukan anda dan saya untuk menyiasat,” tegasnya.

Beliau mendedahkan polis menjalankan siasatan mereka sendiri tetapi memilih untuk berdiam diri sehingga seluruh siasatan diselesaikan.

“Terdapat ribuan siasatan dijalankan pihak polis tetapi mereka tidak mendedahkan secara terbuka melainkan jika ada keperluan untuk mengetahui asasnya terutama dalam situasi yang terdesak,” katanya.

Wan Junaidi berkata, ini merupakan pertama kalinya dalam sejarah negara menyaksikan satu Pasukan Petugas terdiri daripada orang kuat iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk menyiasat dakwaan 1MDB.

“Kita tidak boleh mendedahkan banyak sehingga siasatan dilakukan di mana laporan Peguam Negara akan dibawa kepada Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) di Parlimen untuk terus diteliti,” katanya yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Negara.

Sementara itu, majlis berbuka puasa yang merupakan program tahunan itu menyaksikan 1,200 orang yang hadir terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri selain pemimpin masyarakat.

Beliau turut menyampaikan sumbangan  kepada 257 penerima kepada mereka yang kurang bernasib baik, orang kurang upaya dan anak-anak yatim sempena bulan Ramadan.

Wan Junaidi pada majlis yang sama menyampaikan sijil status kewarganegaraan kepada enam individu.