Thursday, June 27

Haidel azam kembalikan era kemasyhuran hoki Sarawak

0

KUCHING: Presiden Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS), Haidel Heli berazam untuk mengembalikan semula era kegemilangan Sarawak dalam sukan tersebut.

Ini selepas penubuhan PBPHS diluluskan sepenuhnya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kelmarin.

“Syukur kerana penubuhan PBPHS telah diluluskan sepenuhnya bagi membolehkan kita meneruskan program yang dirancang sebelum ini.

“Dengan tertubuhnya PBPHS, saya yakin misi dan visi kita untuk menghidupkan semula sukan hoki di negeri akan menjadi realiti,” katanya di sini semalam.

Bagi menyokong program PBPHS, satu lagi kelab iaitu Kelab Hoki X-Players Kuching juga ditubuhkan dan diluluskan oleh Suruhanjaya Sukan Sarawak kelmarin.

Kedua-duanya diketuai Haidel selaku presiden, Rudi Nazri (timbalan presiden), Desmong Labung (setiausaha), Ariff Omaroddin (timbalan setiausaha), Julian Ong (bendahari) dan Daniel Rukem (timbalan bendahari).

Manakala AJK persatuan terdiri Taserick Reduan, Azmi Abdullah, Zaidel Sidi, Catherine Lambor, Anderson Parance Pail dan Julian Lau.

“Saya menaruh harapan tinggi terhadap barisan Exco dilantik dan percaya mereka mempunyai objektif serupa iaitu ingin melihat Sarawak kembali sebagai kuasa sukan hoki di negara ini,” ujar beliau.

Untuk itu, Haidel berkata PBPHS merangka beberapa program besar dengan pertama menganjurkan Liga Hoki Sarawak yang dijangka berlangsung pada pertengahan Ogos depan.

Ia disusuli karnival hoki belia lelaki dan wanita yang diadakan pada penghujung tahun ini.

“Ini sebagai permulaan dan banyak lagi aktiviti dalam perancangan PBPHS dengan tumpuan diberikan kepada program pembangunan khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.