Pelancongan sukan penting

0

Bagi menarik lebih ramai pelancong luar datang ke negeri Sarawak: Lee

Oleh Sudan Ajang //

BAKAL BERSAING: Lee (tengah) Edward (tiga kanan) dan ahli jawatankuasa penganjur bersama sebahagian bot mengambil bahagian pada Pertandingan Bot Kawalan Jauh 2015 pada 25 dan 26 Julai di Tasik Jumbo, Desa Senadin.

BAKAL BERSAING: Lee (tengah) Edward (tiga kanan) dan ahli jawatankuasa penganjur bersama sebahagian bot mengambil bahagian pada Pertandingan Bot Kawalan Jauh 2015 pada 25 dan 26 Julai di Tasik Jumbo, Desa Senadin.

MIRI: Pelancongan sukan memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini, kata Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin di sini semalam.

Beliau berkata, penganjuran pelbagai aktiviti dapat menyediakan pilihan kepada pelancong sama ada menikmati keindahan di sini, beriadah atau mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan.

“Jangan pandang rendah dengan sektor pelancongan sukan kerana mempunyai tarikan dan penggemar tersendiri. Berdasarkan penganjuran aktiviti sukan sebelum ini ia dapat menarik ramai pelancong datang ke sini mengambil bahagian dan menyaksikan acara tersebut,” katanya.

Lee berkata demikian pada sidang media Pertandingan Bot Kawalan Jauh 2015 yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Julai ini di Tasik Jumbo, Desa Senadin di sini semalam.

Lebih 100 bot kawalan jauh dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Marudi mengambil bahagian pada pertandingan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Senadin, Miri Housing Development Realty Sdn Bhd dan jawatankuasa bot kawalan jauh.

Pertandingan akan bermula jam 10 pagi pada 25 Julai.

Enam kategori dipertandingkan iaitu kategori bot bawah 43cc (single boat) dan 43cc ke atas (double boat), bot bawah 26cc (single boat) dan bot 26cc ke atas (double boat) dan bot bawah 29cc (single boat) dan bot 29cc ke atas (double bot).

Lee berharap pertandingan mempunyai signifikan menjadikan Miri sebagai pusat aktiviti sukan kawalan jauh.

“Sebelum ini, kita ada aktiviti kereta dan kapal terbang kawalan jauh. Saya berharap pertandingan seumpama ini dapat diadakan lebih kerap bagi memeriahkan suasana di Miri,” katanya.