Pendaftaran mualaf Limbang guna sistem baharu

0
BANTUAN RAYA: Hasbi (kiri) pada majlis sumbangan raya kepada saudara baharu disaksikan Dr Rahman (dua kanan) semalam.

BANTUAN RAYA: Hasbi (kiri) pada majlis sumbangan raya kepada saudara baharu disaksikan Dr Rahman (dua kanan) semalam.

Golongan baharu memeluk Islam dan mereka yang tidak pernah terima bantuan diutamakan: Hasbi

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Pendaftaran saudara baharu di kawasan Parlimen Limbang akan menggunakan sistem baharu dengan menyenaraikan golongan mualaf baharu memeluk Islam serta mereka yang tidak pernah menerima sebarang bantuan sebelum ini.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, senarai nama saudara baharu itu penting bagi memberi peluang golongan mualaf yang baharu memeluk Islam menerima sumbangan mereka.

“Sistem baharu ini akan diperkenalkan bermula tahun depan, agar ada muka-muka baharu yang menerima sumbangan raya selain golongan mualaf yang tidak pernah menerima sebarang sumbangan sebelum ini,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Raya kepada Saudara Baharu di Masjid Daerah di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail.

Seramai 350 penerima pada tahun ini menerima bantuan pada majlis itu.

Hasbi berkata, pihaknya tidak dapat menyenaraikan semua nama saudara baharu di daerah ini, tetapi senarai dalam sistem baharu itu akan mengutamakan mereka yang baharu memeluk Islam dan tidak pernah menerima sebarang sumbangan.

Katanya lagi, masih ramai golongan mualaf yang tinggal di rumah panjang, pedalaman dan kampung-kampung yang belum serta tercicir daripada menerima bantuan.

“Saya sedaya upaya untuk membantu saudara baharu ini meskipun bantuan itu diberikan sekali seumur hidup,” katanya.

Jelasnya, saudara baharu yang tidak tersenarai dalam bantuan itu harus mengemukakan nama kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Masalah keciciran nama saudara baharu dalam senarai itu disebabkan masalah teknikal, katanya.

“Saya juga meminta maaf jika nama mereka tercicir daripada senarai kerana ia mungkin disebabkan masalah teknikal,” tambahnya.

Sementara itu, kata Hasbi Islam tidak menilai mereka yang lama atau baharu memeluk Islam kerana semua umat-Nya adalah sama di sisi Allah.

Malah, katanya, terdapat saudara baharu yang lebih faham tentang Islam berbanding mereka yang lahir sebagai Islam.

“Semua Islam adalah bersaudara, tidak kira di mana mereka berada,” katanya sambil menambah, beliau yakin majlis sedemikian akan dapat mengumpul dan merapatkan hubungan sesama Islam.

Pada majlis itu, solat Zohor berjemaah bersama saudara baharu turut diadakan.