Monday, April 22

Tinggal hanya enam sen dalam KWSP

13
KOSONG: Pengadu menunjukkan penyata KWSP di Balai Polis Sentral Sibu semalam.

KOSONG: Pengadu menunjukkan penyata KWSP di Balai Polis Sentral Sibu semalam.

SIBU: Seorang lelaki warga emas mendakwa caruman wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM11,000 yang tidak pernah dikeluarkannya kini hanya tinggal RM0.06.

Perkara itu hanya disedari pengadu seorang pesara, 77, ketika melakukan pemeriksaan potongan carumannya di Pejabat KWSP di  Jalan Kampung Datu di sini Selasa lalu.

Menurut bekas kakitangan Jabatan Tanah dan Survei dikenali ‘Mr Kan’ itu, beliau tidak pernah mengeluarkan wang simpanan KWSP sejak pencen pada tahun 1993.

“Sejak berkhidmat sebagai kakitangan awam selama 23 tahun sehingga pencen, saya tidak pernah melakukan sebarang pengeluaran wang KWSP,” katanya.

Tetapi, beliau dimaklumkan oleh pihak KWSP bahawa wang simpanannya berjumlah RM11,217.12 telah dikeluarkan di Kuching pada 15 Januari 1999.

Katanya, beliau juga dimaklumkan oleh KWSP bahawa tiga pengeluaran dilakukan pada 1989, 1993 dan terakhir pada 1999.

“Semua pengeluaran tersebut bukan dilakukan oleh saya dan kini saya meminta pihak berkenaan menyemak semula bagaimana pengeluaran wang KWSP boleh dikeluarkan orang lain dan tidak dikenali,” katanya ditemui di Balai Polis Sentral di sini, pagi semalam.

Menurut Mr Kan, hatinya tergerak untuk memeriksa jumlah simpanannya di KWSP apabila salah seorang daripada anak lelakinya bertanya mengenai status simpanannya.

Katanya, beliau hanya menerima wang pencen berjumlah RM600 setiap bulan selepas bersara pada umur 55 tahun.

Pengadu diiringi oleh isteri dan seorang anaknya pergi ke Balai Polis Sentral membuat laporan polis pagi semalam.

Katanya, laporan polis akan dijadikan sebagai rujukan pihak berkenaan dan berhasrat menguruskan perkara tersebut di pejabat KWSP di Kuching dalam masa terdekat.