KUCHING: Masyarakat Islam harus berbelanja mengikut kemampuan sebagai persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas tiga bulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Mohamad Hasfa Saleh, 42, seorang penjawat awam berkata, beliau tidak merasakan ia membebankan kerana terpulang kepada kebijaksanaan pengguna itu sendiri untuk berbelanja.
“Lagipun, GST tidak membendung orang ramai daripada berbelanja kerana kebanyakan pusat beli-belah mengikut lunas, terma dan syarat.
“Kebijaksanaan pengguna memilih barangan dan kedai haruslah dititikberatkan mereka. Kita lihat seperti tahun-tahun lepas dan hari ini jumlah mereka yang keluar berbelanja masih sama.
“Saya sendiri pergi ke kedai cat dan masih membeli cat pada harga seperti tahun lepas,” katanya yang tidak menolak kemungkinan terdapat pekedai yang masih mengambil kesempatan.
Sementara itu, bagi Salemah Bujang, 44, yang bekerja sebagai pembantu jualan dengan gaji RM900, baginya gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan seharian apatah lagi untuk berbelanja sakan pada hari istimewa itu nanti.
“Ya, GST membendung perbelanjaan kami sekeluarga…malahan ia membebankan kerana luar kemampuan saya.
“Bukan satu yang hendak dibeli, untuk sambut Hari Raya…malah macam-macam lagi dengan gaji baharu RM900 ia tidak banyak membantu.
“Dahulu kakak boleh membeli dua atau tiga pasang baju untuk dua anak kakak, tapi sekarang cuma sepasang itu pun kakak mengeluh bila anak meminta dibeli sepasang lagi,” katanya kepada pemberita.
Tambah Salemah lagi, harga kek dan kuih yang dahulunya dijual RM10 seketul kini naik RM15 seketul.
Sementara itu Hadi Mos, 27, yang juga penjawat awam berkata GST tidak begitu membendung masyarakat Islam untuk berbelanja apatah lagi barangan yang dibeli amat diperlukan sewaktu membuat persediaan sambutan Hari Raya.
“Bagi kami golongan belia, membeli baju raya adalah suatu kemestian kerana ia adalah keperluan yang jarang dilakukan pada hari biasa.
“Tetapi yang baiknya banyak pula tempat membeli-belah yang menawarkan harga diskaun menarik,” ujarnya.
Ia membebankan sedikit tetapi terpaksa juga membayar disebabkan keperluan kerana tidak diberi pilihan oleh pekedai untuk membayar harga GST atau tidak, tegasnya.