Rancang perbelanjaan, jangan sampai berhutang

0

Umat Islam dinasihati rancang perbelanjaan, tidak meminjam daripada syarikat pemberi pinjaman wang

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Umat Islam dinasihati merancang perbelanjaan dan tidak sesekali meminjam duit daripada syarikat pemberi pinjaman wang atau ceti haram semata-mata ingin beraya sakan.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata umat Islam tidak harus terjebak dengan meminjam duit daripada ceti haram atau lebih dikenali ah long kerana terlalu mengikut nafsu membeli-belah.

“Umat Islam harus merancang perbelanjaan, berjimat dan tidak terburu-buru menghabiskan duit semata-mata untuk membeli keperluan raya kerana kesannya nanti akan memakan diri sendiri,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, mereka harus berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing serta tidak terlalu mengikut nafsu mahupun terikut-ikut dengan gaya orang lain.

“Kakitangan kerajaan yang menerima gaji lebih awal harus bijak merancang perbelanjaan supaya mereka tidak terdesak untuk meminjam daripada ah long jika mengalami masalah kewangan,” jelasnya.

Menurutnya, jika umat Islam tidak mempunyai wang mencukupi, maka mereka harus merayakan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana sederhana atau ala kadar dan mengelak pembaziran.

Beliau juga mengakui harga barang semakin naik meskipun dengan pemantauan kerajaan, namun yang penting sikap individu terbabit dalam mengawal dan merancang perbelanjaan keluarga.

“Jika sudah terjebak dengan pinjaman ceti haram, mangsa sukar menemui jalan keluar kerana si peminjam akan menaikkan kadar faedah tinggi sehingga mangsa sukar membayar balik pinjaman,” jelasnya.

Terdahulu, Ahmad Lai menyampaikan sumbangan raya berbentuk baju raya kepada 68 anak-anak yatim daripada Kompleks Kebajikan Hamidah di sini semalam.

Beliau memberitahu, kerajaan sememangnya menggalakkan orang awam, badan korporat atau pertubuhan memberi sumbangan kepada anak yatim bagi meringankan beban mereka.

“Kita berharap bantuan ini mampu meringankan beban anak yatim seterusnya mereka dapat menikmati Hari Raya Aidilfitri seperti insan lain,” katanya.

Semua anak yatim terbabit menerima sepasang baju Melayu, songkok, sampin, baju kurung, tudung dan kelengkapan raya lain.