Kesetiaan tinggi terhadap parti mendiang Tahyuh harus dicontohi

0

KUCHING: Kesetiaan tinggi terhadap parti yang ada pada mendiang Datuk William Tahyuh Nub harus dicontohi oleh ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada era ini.

Bekas Presiden SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, Tahyuh sangat setia kepada parti dan Barisan Nasional (BN) dari awal penglibatannya dalam politik.

“Beliau seorang yang sa-ngat baik dan setia kepada SUPP dan BN. Seorang yang sederhana dan rendah diri membuatkan beliau tidak begitu dikenali umum.

“Saya amat mengenali beliau, kalau beliau mahu membantu rakyat, beliau akan melakukannya bersungguh-sungguh… sikap ini harus dicontohi oleh ahli-ahli parti sekarang,” katanya ketika dihubungi sebagai mengulas kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh, Datuk William Tanyuh Nub, 69 di sini semalam.

Tahyuh meninggal dunia malam Isnin lalu di Hospital Umum Sarawak (HUS) ke-rana mengidap ‘waldenstrom syndrome’ sejenis kanser darah.

Beliau meninggalkan isteri, Datin Jennifer Alice Chee Moinie yang juga Ketua Wanita SUPP serta empat orang anak.

Dr Chan yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri berkata, kematian Tahyuh satu kehilangan besar kepada SUPP dan BN juga komuniti Bidayuh secara keseluruhannya.

“Kematian beliau pastinya kehilangan besar buat kita semua, untuk parti, BN dan lebih-lebih lagi buat keluarganya. Harap isteri dan anak-anak mendiang tenang dan kuat menghadapi semua ini.

Sementara itu, Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin Niyon berkata Tahyuh sememang-nya terkenal dengan sikap yang sentiasa mahu membantu rakyat di kawasannya.

Bagaimanapun, katanya, dasar parti ketika itu tidak banyak membantu beliau berbuat demikian.

“Kita tahu mendiang seorang wakil rakyat baik dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat, tetapi dasar parti tidak membolehkan beliau berbuat demikian,” katanya dihubungi di sini semalam.

Tahyuh menjadi ADUN Bengoh selepas memenangi pilihan raya kecil pada 1982 menggunakan tiket SUPP tetapi pada pilihan raya negeri (PRN) pada 1983 beliau tidak bertanding.

Beliau bertanding se-mula pada PRN 1991 dan menewaskan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Datuk Wilfred Nissom. Beliau sekali lagi berjaya mempertahan kerusi itu pada PRN 1996 apabila mengalahkan Datuk Dr Jerip Susil yang ketika itu merupakan calon bebas.