60 peratus sokongan Cina kepada KM petanda baik BN

0

KUCHING: Penarafan populariti setinggi 60 peratus dalam kalangan masyarakat Cina kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, menjadi satu petanda baik kepada Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia tentu sekali akan memberi impak positif dari segi peningkatan undi masyarakat Cina kepada BN kali ini.

“Sudah pasti ia petanda baik untuk BN dan berharap semua parti komponen BN mengambil iktibar berkenaan.

“Ia sekali gus untuk memberi mandat kepada beliau (Adenan) supaya terus menerajui kerajaan negeri ini,” katanya.

Dr Rundi juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus optimis melalui penarafan diberi itu, diyakini ada peningkatan undi Cina kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya pasti ada peningkatan undi Cina untuk BN pada kali ini,” tegasnya.

Pada Rabu lepas, akhbar Borneo Post dipetik melapor satu tinjauan dikendali sebuah agensi peninjauan awam bebas menunjukkan Adenan mempunyai penarafan populariti setinggi 60 peratus dalam kalangan masyarakat Cina.

Penarafan positif tinggi itu merupakan perubahan ketara dalam masyarakat Cina yang selama ini lebih cenderung menyokong pembangkang.

Dalam reaksi kepada tinjauan itu, Adenan memberitahu Borneo Post, beliau dapat merasai penerimaan masyarakat Cina terhadap dasarnya sejak beliau memegang tampuk kerajaan negeri tidak sampai dua tahun  lalu.

Bagaimanapun beliau menegaskan apa sahaja yang beliau lakukan untuk masyarakat Cina tidak pernah mengetepikan masyarakat lain dan apa yang beliau berikan kepada masyarakat Cina tidak lebih daripada apa sewajarnya mereka peroleh.