Perhutanan penyumbang utama ekonomi S’wak

0

Syarikat perkayuan tempatan diseru ambil peluang daripada penganjuran Olimpik Tokyo pada 2020

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Sektor perhutanan merupakan penyumbang utama kepada pembangunan sosioekonomi negeri dengan kutipan pendapatan berjumlah RM700 juta setiap tahun.

Pengarah Hutan Sarawak Sapuan Ahmad berkata, pasaran utama bagi produk kayu Sarawak ialah India, Taiwan, China, Japan, Korea dan negara-negara ASEAN.

“Berdasar kepada statistik perdagangan Sarawak, pada tahun 2013, sebanyak 6.8 juta meter padu kayu dan produk kayu-kayan dieskport dengan anggaran pendapatan RM7.2 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bengkel mengenai keperluan pasaran kayu balak anjuran jabatan itu dengan Ecology and People Consult (NEPCon) Malaysia dan WWF-Malaysia di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Jelasnya, tahun lepas Sarawak telah mengeksport 6.6 juta meter padu kayu dan produk kayu dengan kutipan pendapatan RM7.3 billion.

“Kita mahu terus mengeksport kayu dan saya mahu melihat kita mengeksport kayu bernilai tinggi. Pada masa sama menunjuk imej baik dalam pasaran antarabangsa,” katanya.

Tambah Sapuan, Sarawak turut menjadi rakan perdagangan utama dengan Jepun dalam produk perkayuan.

Kejohanan Olimpik di Tokyo, Jepun pada 2020, katanya, sudah pasti akan membuka peluang perniagaan lebih luas untuk pemain industri dari Sarawak.

“Apa dapat kita lihat ialah banyak pembinaan akan dilaksanakan menjelang temasya itu tetapi harus diingatkan bahawa sukan Olimpik di Tokyo menjadi pintu kawalan bagi mereka tidak bertanggungjawab serta produk kayu tidak mampan daripada memasuki pasaran di sana.

“Justeru, saya menggesa syarikat perkayuan di Sarawak supaya melonjak operasi meraka dalam beberapa tahun akan datang dan tidak terlepas peluang perniagaan ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai bengkel berlangsung dua hari mulai semalam, ia memberi garis panduan dan maklumat terkini mengenai haluan global terkini terhadap prosedur pensijilan pengurusan hutan bagi kumpulan terlibat dalam industri pembalakan.

Bengkel ini memberi tumpuan kepada pemahaman terhadap haluan pasaran, kehendak pasaran dan kesahan kayu.

Peserta terdiri daripada 50 individu kalangan pembuat dasar, pengurusan atasan dan kakitangan utama yang bertanggungjawab dimaklumkan tentang proses yang syarikat perlu lalui untuk mendapatkan pensijilan pengurusan hutan.

Para penceramah dan fasilitator dari NEPCon termasuklah Christian Schiver, Peter Fielberg yang merupakan pakar dalam  bidang pemuliharaan alam semula jadi dan pengurusan hutan.

Manakala Alexandra Bank membincangkan tentang keperluan untuk pasaran yang berlainan dan Oliver Cupit seorang pakar dalam kesahan kayu balak.