Dollah puji aksi pemain muda

0

Tampil aksi cemerlang untuk mengikat kelab gergasi England, Liverpool 1-1

SAMA HEBAT: Kapten Mohd Razman (kanan) dan Henderson bersama-sama menjulang trofi selepas seri 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bukit Jalil malam kelmarin. — Gambar Bernama

SAMA HEBAT: Kapten Mohd Razman (kanan) dan Henderson bersama-sama menjulang trofi selepas seri 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bukit Jalil malam kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara, Dollah Salleh memuji pemain muda dalam skuad Pilihan Malaysia yang menampilkan aksi cemerlang mengikat kelab gergasi England, Liverpool, 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam kelmarin.

Mengambil contoh penyerang skuad Harimau Muda B, S. Kumaahran, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata pemain tersebut menampilkan persembahan terbaiknya biarpun diturunkan pada babak kedua perlawanan.

Oleh itu, katanya, aksi pemain itu memberi amaran kepada pemain senior supaya memberikan usaha lebih baik untuk memburu tempat dalam skuad negara bagi menghadapi baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2009 yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

“Saya tidak menjangka pemain itu bermain dengan sungguh baik walaupun diturunkan pada babak kedua perlawanan. Bagi saya, semua pemain perlu berjuang untuk menempah tempat dalam skuad negara,” katanya ditemui selepas perlawanan.

Dollah juga bangga dengan keputusan itu walaupun skuadnya mempunyai masa yang singkat untuk melakukan persiapan.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Brendan Rodgers turut memuji skuad Pilihan Malaysia kerana memperagakan persembahan cemerlang menentang barisan mudanya.

Menurutnya, perlawanan tersebut menjadi medan terbaik untuk pemainnya berada pada tahap kecergasan tinggi sebelum bermula musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015/2016.

“Saya sungguh berpuas hati dengan apa yang dilalui pada jelajah pramusim setakat setakat ini. Pasukan ruan rumah (Pilihan Malaysia) memberi saingan sengit pada babak pertama tetapi secara keseluruhan saya gembira dengan persiapan kami sebelum musim baharu EPL bermula,” katanya.

Skuad Pilihan Malaysia dibantu lima pemain asing memperagakan aksi menarik mengikat pasukan tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool 1-1 dalam aksi persahabatan itu.

Skuad bimbingan Dollah Salleh tidak mengecewakan hampir 50,000 penonton apabila mengejutkan Liverpool dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh.

Wleh menyempurnakan gol pendahulu apabi l a mengecewakan penjaga gol simpanan Liverpool, Adam Bogdan.

Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool memperkemas semula taktik dengan melakukan serangan bertali arus sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi rembatan deras pemain sayap berusia 19 tahun, Jordan Ibe.

Bagaimanapun, kedudukan tidak berubah selepas itu sehingga tamat separuh masa.

Selepas babak kedua bermula, Liverpool meneruskan momentum dengan melancarkan serangan bahaya terhadap pintu gol pasukan tuan rumah dengan menyaksikan penjaga gol negara, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan beberapa percubaan.

Biarpun Liverpool menguasai perlawanan namun skuad Pilihan Malaysia tidak berputus asa mencari gol kemenangan dan peluang itu bagaimanapun tidak disempurnakan oleh percubaan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit-minit akhir perlawanan.

Kali terakhir, pasukan The Reds menentang skuad kebangsaan adalah pada 2011 yang menyaksikan mereka mengalahkan pilihan Malaysia 6-3.

Liverpool memulakan jelajah pramusim ini dengan mengalahkan pasukan All Stars dari Thailand 4-0 di Bangkok pada 14 Julai lalu sebelum mengalahkan dua pasukan Liga Australia, Brisbane Roard 2-1, Jumaat lalu dan Adelaide United 2-0, Isnin lalu.

Pasukan pelawat itu akan melengkapkan jelajah pramusim dengan menentang pasukan Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos ini di Stadium Sonera di Helsinki. — Bernama