Hoki: Sembilan pasukan sedia berentap

0
BERSEDIA: Haidel (dua kiri) bersama barisan pemain Gertaq HC yang turut serta pada saingan Liga Hoki Sarawak yang bermula pada 1 hingga 6 Ogos ini.

BERSEDIA: Haidel (dua kiri) bersama barisan pemain Gertaq HC yang turut serta pada saingan Liga
Hoki Sarawak yang bermula pada 1 hingga 6 Ogos ini.

KUCHING: Sebanyak sembilan pasukan bersedia berentap bagi memburu kejuaraan kempen Liga Hoki Sarawak 2015 yang bakal bermula 1 hingga 6 Ogos ini.

Liga anjuran Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS) itu akan berlangsung di Stadium Hoki Sarawak, Jalan Padungan di sini dan Padang Hoki SMK Paku, Bau.

Presiden PBPHS, Haidel Heli berkata pasukan mengesahkan penyertaan ialah Gertaq HC, Warrior HC, SUKMA Shadow, Kuching Sikh’s HC, Kuching ‘ThunderCat’ HC, Paku HC, SMK Serian, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGBL) dan SMK Agama Matang.

“Pasukan-pasukan terbabit dibahagi kepada dua kumpulan dan perlawanan diadakan mengikut format liga.

Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Sarawak Jalan Padungan dan Padang Hoki SMK Paku, Bau,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, PBPHS turut menganjurkan Karnival Hoki Wanita 9 Sebelah yang akan diadakan dari 1 hingga 3 Ogos ini dengan 10 pasukan akan bersaing.

Pasukan terbabit ialah Gertaq HC, Warrior HC, SUKMA Shadow, SMK Serian, SMK Bako, SMK Balai Ringin, SMK Sri Matang, Brunei HA, SMK Agama Matang dan IPGBL.

“Untuk karnival ini, kita turut menerima penyertaan dari negara jiran iaitu Brunei Darussalam.

Ini akan menjanjikan cabaran sengit buat pemain-pemain tempatan kerana Brunei pastinya menghantar skuad terbaik untuk memburu kemenangan,” ujar Haidel.

Menurutnya, objektif utama PBPHS menganjurkan liga dan karnival tersebut adalah untuk menghidupkan semula sukan hoki di Sarawak yang kian tenggelam sejak kebelakangan ini.

Jelasnya, liga dan karnival itu menjadi landasan bagi Sarawak mencungkil pemain- pemain hoki remaja berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selain sebagai persediaan menghadapi temasya SUKMA XVIII di Sarawak tahun depan.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai liga dan karnival hubungi Setiausaha PBPHS, Desmond Labong di talian 016-8678848.