Hospital pakar perlu diperbanyak kerana Sarawak tumpuan pelancong perubatan

0

KUCHING: Sarawak boleh menyaksikan pertambahan hospital pakar berikutan peningkatan bilangan pelancong perubatan ke sini, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Sehubungan itu katanya, cadangan daripada masyarakat luar untuk menubuhkan hospital pakar akan diterima dan oleh itu kerajaan negeri sedang dalam rundingan memperbanyakkan inisiatif itu.

“Daripada 4.8 juta ketibaan pelancong tahun lepas, peratusan yang sangat tinggi datang daripada pelancong perubatan.

“Pada tahun ini, kita menjangkakan pelancong perubatan yang sama dan kebanyakannya dari Pontianak dan Jakarta,” katanya.

Beliau bagaimanapun menambah tidak dapat membincangkan lebih terperinci mengenainya memandangkan rundingan itu dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Dewan Konvensyen HUS di sini, semalam.

“Kedua-dua Pusat Perubatan Timberland dan KPJ telah dinaik taraf kerana maklum balas yang baik daripada pelancong perubatan.

“Ada juga cadangan daripada masyarakat luar untuk menubuhkan lebih banyak hospital, tetapi ini masih dalam rundingan.

“Permintaan seperti ini menunjukkan bahawa perkhidmatan perubatan pakar kita… yang kita tawarkan adalah berkualiti.

“Ini yang kita perlu akui kerana jika perkhidmatan tidak memuaskan, mereka pasti tidak akan datang ke sini,” jelasnya.

Pada masa ini terdapat empat hospital pakar iaitu Normah Medical Specialist Centre, Pusat Perubatan Timberland, Kuching Specialist Hospital (KPJ) dan Pusat Perubatan Borneo di sini.

Abang Johari turut percaya lebih ramai pelancong perubatan akan datang ke negeri ini memandangkan kos perubatan di Singapura telah meningkat.

Beliau terus menunjukkan bahawa terdapat beberapa pakar dari negeri ini telah berkhidmat di hospital pakar seperti di Singapura.

Keadaan ini menurutnya, dijangka meningkatkan keyakinan ke atas perkhidmatan perubatan bagi negeri ini dalam kalangan pelancong asing.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mencadangkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk melengkapkan kemudahan hotel di Damai (terletak 35km dari sini) dengan peralatan yang diperlukan untuk menawarkan perkhidmatan pascarawatan kepada pelancong perubatan.

Mengambil contoh Maldives, beliau menjelaskan pelancong perubatan menerima rawatan di klinik atau hospital dan kemudiannya menginap di hotel untuk pemulihan penuh selepas rawatan.

“Ini adalah satu konsep baharu yang kita akan terima… kerana kita mempunyai negeri yang boleh menawarkan udara segar untuk pelancong perubatan khususnya bagi mereka dalam pascarawatan atau terapi untuk memberi mereka pemulihan yang lebih baik,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Pusat Jantung HUS Dr Mohd Asri Riffin.