Sokong Adenan supaya dapat teruskan pembangunan negeri

0

SIBU: Penduduk Kampung Jeriah digesa terus menyokong pimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi meneruskan agenda kerajaan negeri untuk membangunkan negeri Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, sepanjang setahun setengah Ketua Menteri memegang pucuk pimpinan negeri, pelbagai perubahan dan pembangunan telah dilakukan terutama untuk penduduk di pesisiran dan luar bandar.

“Ini jelas dibukti pada persidangan DUN lepas, beliau memohon tambahan RM500 juta semata-mata untuk membangunkan infrastruktur di luar bandar. Malangnya pada persidangan itu, pihak pembangkang tidak bersetuju supaya RM500 juta itu diluluskan.

“Namun, kita bersyukur, dengan bilangan wakil rakyat BN seramai 55 daripada 71 ahli Dewan Negeri, kita berjaya meluluskan peruntukkan RM500 juta tersebut,” katanya.

Annuar berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Silaturahim Hari Raya Aidilfitri 2015’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jeriah di perkarangan Masjid Babu Salam di sini malam kalmarin (Selasa).

Menurutnya, Kampung Jeriah tidak akan ketinggalan mendapat manfaat daripada peruntukkan itu nanti.

“Masalah peparitan dan banjir di kampung ini, kerajaan negeri telah meluluskan fasa pertama iaitu RM2 juta, dan fasa seterusnya akan diperuntukkan di bawah RMK Ke-11,” kata Annuar yang turut merasmikan majlis itu.

Oleh itu, beliau sekali lagi menggesa seluruh masyarakat negeri ini supaya memberi sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada pada PRN akan datang agar mendapat mandat lima tahun lagi untuk membangunkan negeri ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JASA Malaysia Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi turut hadir sama selaku tetamu kehormat jemputan.

Selain itu, turut ialah ADUN Jamoreng Abu Seman Jahwie, Penyelaras Panel Pemikir JASA Malaysia Datuk Mohd Sayuti, Pengarah Gerak Saraf JASA Malaysia Ustaz Nasron Adil Datuk Mohamed Yusuf, Pengarah JASA Sarawak Hassan Busu yang lain.