Konsert pertama RWMF tampil aksi bertenaga

0

Lima kumpulan persembah keunikan muzik tradisional, gamit ribuan pengunjung pesta edisi ke-18

Oleh Agnes Tugong / Gambar Chimon Upon //

BERTENAGA: Persembahan  Bargou 08 dari Tunisia penuh bertenaga dengan mengembalikan muzik yang hampir dilupai di Barat Laut negara Tunisia.

BERTENAGA: Persembahan Bargou 08 dari Tunisia penuh bertenaga dengan mengembalikan muzik yang hampir dilupai di Barat Laut negara Tunisia.

SANTUBONG: Konsert pertama Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) edisi ke-18 membuka tirai malam Jumaat lepas dengan persembahan bertenaga oleh lima kumpulan penghibur undangan.

Bermula dengan upacara ‘miring’ oleh Kampung Budaya Sarawak (SCV), ribuan pengunjung mula memenuhi hadapan pentas utama RWMF seawal jam 7 malam bagi menyaksikan acara berprestij ini.

Selesai upacara ‘miring,’ pentas konsert RWMF mula digegarkan dengan persembahan oleh Sangpuy yang merupakan sebuah kumpulan pemuzik dari salah satu puak tertua di Taiwan. Sesuai dengan RWMF sendiri yang mengetengahkan keunikan muzik-muzik tradisional, pentas konsert diteruskan lagi dengan persembahan oleh sebuah lagi kumpulan etnik dari Bali, Indonesia.

Kumpulan yang digelar sebagai Kobagi Kecak ini ditubuhkan pada 2008 dan hanya menggunakan badan sebagai instrumen utama bagi menghasilkan muzik selain buluh.

Selesai persembahan Kobagi Kecak, pentas konsert RWMF semakin rancak menerusi kemunculan kumpulan Le Blanc Bros Cajun Band dari Australia/New Zealand.

Kumpulan ini mempersembahkan muzik dan bahasa Cajun yang secara tradisionalnya datang dari selatan Louisiana dan merupakan muzik tarian popular dengan pengaruh Perancis.

Konsert menjadi bertambah rancak apabila kumpulan Bargou 08 dari Tunisia mengambil alih pentas konsert RWMF yang semakin menghampiri penghujungnya pada malam pertama.

Kumpulan Bargou 08 mengembalikan muzik yang hampir dilupai di barat laut Tunisia yang mana tersorok antara gunung-gunung dan sempadan Algeria.

Sebelum pentas konsert pertama RWMF berakhir malam kelmarin, penonton dan semua para pengunjung dihiburkan dengan persembahan Shooglenifty dari Scotland.

Malam ini, 9 Ogos, merupakan malam terakhir bagi konsert RWMF dan antara kumpulan yang akan ditampilkan ialah Ndima (Congo), Korontzi (Basque Country), Harubee (Maldives), Sayu Ateng (Sarawak), Kecak Rite (pemuzik RWMF dan penonton) dan Lindigo (Reunion Island) diakhiri dengan RWMF Finale.

TRADISIONAL: Kobagi Kecak dari Bali, Indonesia mempersembahkan muzik tradisional yang dihasilkan hanya menggunakan badan sebagai instrumen utama.

TRADISIONAL: Kobagi Kecak dari Bali, Indonesia mempersembahkan muzik tradisional yang dihasilkan hanya menggunakan badan sebagai instrumen utama.

HEBAT: Le Blanc Bros Cajun Band dari Australia memberikan persembahan terhebat mereka kepada para penonton.

HEBAT: Le Blanc Bros Cajun Band dari Australia memberikan persembahan terhebat mereka kepada para penonton.