Wednesday, November 20

SMK Three Rivers Mukah julang Piala Pusingan Taekwando MGTF

0

SIBU: Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers Mukah berjaya membawa pulang Piala Pusingan Kejohanan Taekwando MGTF Sekolah-Sekolah Sarawak Kali Keenam dan Jemputan Borneo Kali Keempat 2015 untuk kali kedua berturut-turut.

Pasukan itu membawa pulang piala pusingan tersebut setelah menjuarai kategori Bawah 15 Tahun dan Bawah 17 Tahun dengan meraih sebanyak 13 pingat emas.

Sementara Kelab First Kicks Taekwando Sibu (KFKTS) turut mengekalkan juara keseluruhan kategori terbuka untuk kali kedua dengan 12 pingat emas.

Ini membolehkan mereka membawa pulang Piala SGTA.

Keputusan keseluruhan bagi kategori Bawah 12 Tahun dimenangi Kelab Tunas Mukah memperolehi sembilan emas, diikuti KFKTS (5) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 (2).

SMK Three Rivers menjuarai kategori Bawah 15 Tahun dengan lima pingat emas, diikuti SMK Kampung Nangka (3) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah (2).

Kategori Bawah 17 Tahun dimenangi SMK Three Rivers yang mendapat lapan pingat emas, diikuti KFKTS (4) dan SMK Rosli Dhoby (3).

KFKTS turut memenangi kategori Terbuka dengan mengumpul 12 emas, diikuti Politeknik Kuching (5) dan Politeknik Mukah (1).

Kejohanan ini dianjurkan Persatuan Taekwando Global Sarawak (SGTA) berlangsung di Stadium Bukit Lima di sini pada 8 dan 9 Ogos lalu.

Sebanyak 11 pasukan dari Sibu, Mukah dan Kuching dengan 208 orang peserta menyertai kejohanan bertujuan memberi pendedahan kepada ahli-ahli baharu bagi menyertai kejohanan peringkat negeri.

Kejohanan inin juga bagi mencungkil bakat-bakat baharu dan memilih peserta mewakili Sarawak pada kejohanan di Selangor pada 29 dan 30 Ogos ini.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee.

Hadir sama ialah Presiden SGTA, Abang Ahmad Zaini Abang Fauzan.