BN Sarawak pastikan pengagihan 11 kerusi baharu dilakukan secara adil

0

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memastikan pengagihan 11 kerusi baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilakukan secara adil kepada parti-parti komponennya walaupun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mendapat lima daripada kerusi berkenaan.

Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata ia adalah untuk memelihara keharmonian dan persefahaman dalam BN Sarawak.

“Kita berhak memberi pendapat sendiri termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi keputusan muktamad adalah dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku pengerusi BN Sarawak.

“Kita mahu menentang pembangkang sebagai satu kumpulan yang bersatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemu bual selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Liga Remaja Kreatif Peringkat Negeri Sarawak 2015 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Adenan yang juga presiden PBB ketika berucap pada perjumpaan Aidilfitri anjuran PBB Zon Kuching pada malam Isnin lepas berkata PBB akan mendapat lima daripada 11 kerusi baharu negeri bagi PRN akan datang kerana parti itu mampu memenangi semua kerusi itu.

“Kami sekarang mempunyai 35 kerusi yang kami tidak pernah gagal menyumbang kepada BN…saya pasti akan meneruskan tradisi ini,” katanya.

Justeru, Rundi menambah parti itu juga akan mengemukakan muka baharu untuk lima kerusi baharu berkenaan.

Malah, katanya muka baharu juga akan diambil untuk menggantikan beberapa muka lama yang telah membayangkan kepada Adenan bahawa mereka mahu berundur.

“PBB kerap kali melakukan perkara ini…seingat saya, kali terakhir ialah kami ada 10 muka baharu yang muda.

“Malah mereka yang veteran juga masih bersama kami di mana ada yang masih menjadi ahli Majlis Tertinggi dan sebagainya.

“Maka itu tiada masalah untuk kami menukar calon dalam sistem sedia ada,” katanya.

Sarawak sekarang mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung persempadanan kawasan PRN dan memutuskan bahawa 11 kerusi baharu yang dicadangkan boleh diguna pada PRN akan datang.