KPDNKK bantu stesen minyak uzur di pedalaman

0
SIMBOLIK: Adenan diiringi Hamzah (tiga kiri) meletakkan logo sebagai simbolik Hari Koperasi Negara 2015. Turut kelihatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais (kiri).

SIMBOLIK: Adenan diiringi Hamzah (tiga kiri) meletakkan logo sebagai simbolik Hari Koperasi Negara 2015. Turut kelihatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais (kiri).

Program jenama SMART akan diperkenal wujud stesen minyak mini yang moden, bersih dan selamat

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada dasarnya bersetuju memperkenal program stesen minyak mini jenama SMART di pedalaman Sarawak.

Menterinya Datuk Hamzah Zainudin berkata, program itu merupakan satu usaha sama antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan Smart Stream Resources Sdn Bhd untuk memajukan stesen minyak mini kawasan pedalaman.

“Stesen minyak asalnya agak uzur bukan sahaja dimodenkan untuk beroperasi sebagai sebuah stesen minyak bersih dan selamat.

“Malah ia menawar perkhidmatan lain seperti kedai runcit mini, pusat pembayaran bil setempat dan penempatan mesin ATM untuk kemudahan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara (2015) yang disempurna Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Hasilnya, kata Hamzah, koperasi sebagai pemilik stesen minyak dapat meraih lebih pendapatan untuk memajukan ekonomi anggotanya.

Rakyat kata beliau dapat menikmati kemudahan diperlu di samping dapat memperoleh barangan keperluan harian pada harga yang berpatutan.

Mengulas mengenai gerakan koperasi di negara ini, katanya ia berjaya mencapai peningkatan memberangsangkan pada tahun 2014 berbandingt tahun sebelumnya (2013).

“Dari segi bilangan koperasi sebanyak 8.8 peratus, modal syer dan yuran terkumpul sebanyak 5.1 peratus, aset sebanyak 8.2 peratus dan jumlah perolehan sebanyak enam peratus.

“Pada akhir tahun 2014 terdapat 11,871 koperasi berdaftar dengan keangotaan seramai 7.41 juta orang, modal syer berjumlah RM13.47 bilion, aset bernilai RM116.78 bilion dan penjanaan perolehan RM34.95 bilion,” katanya.

Tambah Hamzah, peningkatan perolehan koperasi ketara itu adalah hasil pelaksanaan pelbagai aktiviti perniagaan koperasi yang memanfaatkan anggota koperasi.

Berdasar prestasi gerakan koperasi memberangsangkan sehingga kini, bilangan koperasi telah mencecah 12,404 buah (sehingga 31 Mei 2015).

“Setiap koperasi perlu memasti bahawa hasrat penubuhannya dapat dicapai serta kepentingan dan kesejahteraan anggotanya sentiasa dipelihara bagi menjami kelestarian koperasi,” tegasnya.

Mengenai Hari Koperasi Negara, katanya HKN pertam kali di luar Semenanjung itu bertujuan memberi pengiktirafan ke atas sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Di samping itu HKN bertemakan ‘Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu’ berfungsi sebagai medan untuk mempromosikan konsep dan produk koperasi kepada orang ramai.

Tema itu kata Hamzah dipilih tepat dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang mengutamakan penyatuan rakyat iaitu Sehati Sejiwa.