Program MKMF jana ekonomi luar bandar

0

Belia harus manfaat teknologi tingkat pendapatan menerusi aktiviti pertanian: Nancy

Oleh Rusnan Mustafa //

GEDONG: Program ‘My Kampung My Future’ (MKMF) mampu menjadi pemangkin ekonomi khususnya golongan belia luar bandar dalam menjana pendapatan menerusi aktiviti pertanian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, justeru  beliau menggalak penglibatan golongan belia dalam aktiviti pertanian mengguna teknologi moden berpotensi tinggi untuk dikomersial.

“Program MKMF seperti yang dilaksana  di Kampung Gedong ini menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah satu usaha mentransformasi komuniti setempat dengan menggalak golongan belia terus berada di kampung dan menjalankan aktiviti pertanian bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Terbuka NBOS MKMF di Kampung Gedong, Simunjan di sini kelmarin.

Nancy menjelaskan, program itu dapat memperbaiki dan mengubah tahap kehidupan malah boleh menarik nafas lega kerana anak akan memilih untuk tidak berhijrah ke bandar, apabila menyedari kerjaya pertanian berteknologi moden mampu menjana pendapatan tinggi.

“Oleh itu, ambil peluang yang ada, untuk terus maju ke hadapan dengan menyertai program My Kampung, My Future,” tambah Nancy.

Pada masa sama Ahli Parlimen Batang Sadong itu memberitahu ia secara tidak langsung meningkatkan produktiviti, menjana kekayaan melalui inovasi, mempertingkatkan peratusan masyarakat kelas menengah serta menjadikan pelaksanaan pertumbuhan hijau menjadi realiti.

Malah katanya, program seperti itu membuka peluang kepada masyarakat Bumiputera di Sarawak yang mendapat manfaat daripada pemberian hak milik tanah adat (NCR)  membangunkan tanah mereka dengan menggunakan teknologi moden.

“Saya juga melihat inisiatif ini sebagai satu titik tolak terutamanya golongan belia untuk memainkan peranan membangun kampung.

“Ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pelapis kepimpinan negara ini untuk terlibat sama dalam pembangunan negara,” tegasnya.

Salah seorang peserta MKMF di Kampung Gedong, Alham Maulana Obeng, 38, kini  mampu menjana pendapatan bersih RM5,000 sebulan dengan Projek Ternakan Lembu dan Pemprosesan Baja Organik.

“Rebut peluang ini dalam membangunkan diri kita terutamanya golongan belia untuk bersama-sama membantu meningkatkan ekonomi sendiri dan negara,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Azizan Mohamad Sidin.

Sehingga kini terdapat 46 peserta projek MKMF yang menjalankan projek Fertigasi Rock Melon, projek Fertigasi Cili, projek Tanaman Pisang Kapok, projek Ternakan Lembu, projek Tanaman Nanas dan projek Tanaman Tembikai dan projek-projek sampingan yang lain di seluruh negara.