Tonjol keunikan S’wak dalam karya

0

Penggiat sastera harus promosi perpaduan menerusi penulisan: Rosey

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Penggiat sastera di Sarawak digesa mengangkat keunikan dan budaya kepelbagaian kaum di negeri ini dalam karya sama ada puisi atau novel.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata, Sarawak begitu kaya dengan kebudayaan dan dengan memasukkan nilai-nilai ini, ia bukan hanya memperkenalkan negeri ini, malah dapat memartabatkan dunia kesusasteraan.

“Negeri ini merupakan lubuk emas kepada karya kreatif di Malaysia apatah lagi Sarawak khususnya Miri kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya yang hidup dalam suasana aman harmoni.

“Sebaliknya, elakkan dalam menghasilkan karya yang boleh menggugat keharmonian kaum atau terlalu mengutuk kerajaan,” ujarnya berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku dan Bicara Penulis Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) di Pustaka Miri semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Suzanne Lee Tze Ha.

Hadir sama Ketua Satu PUTERA Zainal Abidin Suhaili dan wakil ITBM Mohd Johariz Zakaria, Timbalan Pengerusi PUTERA Poul Nanggang dan Setiausaha Satu Jaya Ramba.

Acara tersebut dianjurkan oleh PUTERA dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Pustaka Miri.

Mengenai majlis itu, Rosey berharap PUTERA terus bergiat aktif dalam melahirkan karya-karya sastera yang berkualiti seterusnya memeriahkan dunia penulisan kreatif di negara ini.

“Saya diberitahu ramai penulis tempatan kita sudah lama melakar nama dan memenangi hadiah di peringkat kebangsaan dan nusantara. Saya berharap usaha ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Rosey turut mengumumkan geran berjumlah RM3,000 bagi membantu PUTERA mengadakan aktiviti penulisan.