Rempuhan maut

0

Oleh Michael Ubam//

 

DICANTUM SEMULA: Tangan kanan Fredrick dijumpai oleh saudara maranya di dalam parit lokasi kemalangan petang semalam dibawa ke bilik mayat Hospital Sibu.

DICANTUM SEMULA: Tangan kanan Fredrick dijumpai oleh saudara maranya di dalam parit lokasi kemalangan petang semalam dibawa ke bilik mayat Hospital Sibu.

SIBU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat selepas mereka dirempuh ketika hendak menukar tayar kereta pancit di bahu jalan di Batu 7, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, awal pagi semalam.

Tangan kanan salah seorang mangsa kemalangan maut yang terputus daripada pangkal lengan telah dijumpai di dalam parit lebih 10 jam selepas kejadian tersebut.

MENYAYAT HATI: Keadaan mangsa di tempat kejadian.

MENYAYAT HATI: Keadaan mangsa di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 3.30 pagi itu, dua mangsa maut dikenali sebagai Fredrick Gramong Klibet, 31, dan Thunderbirds Angoh, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Akibat impak yang kuat, kedua-dua mangsa dipercayai terpelanting kira-kira 15 meter dari tempat mereka dirempuh sebuah kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Bobby Ram, 42, mengalami kecederaan di bahagian kepala, luka di lengan dan lutut kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu.

UB15082314

REMPUHAN MAUT: Keadaan kereta Proton Wira (kiri) yang terbabas dan kereta Bobby.

 

Bobby yang dihantar oleh ambulans ke Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu telah menerima lima jahitan di kening kanan.

Difahamkan, dua sepupu, Bobby dan Fredrick yang menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna biru sedang dalam perjalanan pulang ke Sibu Jaya apabila mereka terserempak dengan kereta Thunderbirds di tepi jalan.

Mereka dikatakan berhenti di belakang kereta Proton Iswara selepas dilambai oleh Thunderbirds yang mengadu pancit tayar depan sebelah kanan.

Thunderbirds yang tidak mempunyai peralatan untuk membuka tayar dipercayai meminta bantuan daripada Bobby yang saling mengenali antara satu sama lain.

TIDAK SEMPAT: Peralatan membuka tayar masih berada berdekatan tayar kereta Proton Iswara yang pancit.

TIDAK SEMPAT: Peralatan membuka tayar masih berada berdekatan tayar kereta Proton Iswara yang pancit.

Difahamkan, sebuah kereta Proton Wira yang dipandu dari arah bandar tiba-tiba merempuh bahagian kanan belakang kereta Proton Saga milik Bobby sebelum terbabas ke dalam parit.

Pasukan polis trafik yang dikerah ke tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak bernyawa.

Menurut polis, keadaan Fredrick amat mengerikan kerana kepalanya berkecai dan tangan kanannya putus daripada pangkal lengan serta patah kaki kanan, manakala Thunderbirds terbaring kaku di sebelahnya.

Selepas kemalangan itu, peralatan untuk membuka tayar termasuk jek dan sebatang sepanar masih berada berdekatan tayar yang pancit tersebut.

 

 

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar oleh polis ke bilik mayat Hospital Sibu.

Namun, tangan kanan Fredrick yang terputus hanya dijumpai oleh saudara mara di dalam parit pada jam 1.45 petang semalam.

Menurut sumber, lokasi penemuan tangan tersebut dipercayai tempat kereta Proton Wira terbabas sebelum itu.

Bobby yang bekerja sebagai pemandu treler tidak sedarkan diri selepas kemalangan sempat bercakap dengan ayahnya semasa dirawat di Zon Merah.

Menurut ahli keluarga Bobby, ini adalah kali kedua Bobby mengalami kemalangan serius sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun, kakak Fredrick, yang dikenali sebagai Roseline memberitahu bahawa adiknya bekerja sebagai awak-awak kapal bersama ayah Bobby sejak pulang dari Semenanjung Malaysia pada Jun lalu.

Difahamkan, Thunderbirds merupakan seorang askar dan akan berpencen tidak lama lagi.