Nahas motosikal, dua ‘biker’ cedera

0
REMUK: Keadaan kedua-dua motosikal berkuasa tinggi milik mangsa selepas kemalangan.

REMUK: Keadaan kedua-dua motosikal berkuasa tinggi milik mangsa selepas kemalangan.

KUCHING: Keghairahan sekumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi berkonvoi berakhir tragedi selepas dua daripada ahli kumpulan berkenaan terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang daripada penunggang yang berusia 47 tahun  gagal memperlahankan motosikalnya ketika tiba di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuching-Kota Samarahan.

Ekoran itu, motosikal jenis Kawasaki yang ditungganginya melanggar bahagian belakang sebuah motosikal milik rakannya yang berusia 49 tahun dalam kejadian sekitar jam 1 pagi.

“Mereka dikatakan baharu menghadiri satu acara di pusat bandar raya dan masing-masing dalam perjalanan pulang apabila mangsa yang berasal dari Kampung Tijirak, Siburan itu gagal mengawal motosikalnya.

“Disebabkan itu, mangsa dikatakan telah melanggar motosikal rakannya sehingga kedua-dua mereka tercampak dari atas motosikal masing-masing,” kata sumber.

Kedua-dua penunggang motosikal yang mengalami kecederaan itu telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan di mana seorang daripada mereka dikhuatiri mengalami patah tulang kaki.

Sementara dalam kejadian berasingan, dua sahabat berselisih maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Tun Jugah di sini, kelmarin.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang ke BDC selepas membeli makanan untuk makan malam sekitar jam 10 malam.

“Bagaimanapun, setibanya di Jalan Tun Jugah, sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan terbabas lalu memasuki laluan mangsa dan merempuh motosikal yang ditunggangi mereka.

“Nasib menyebelahi kedua-dua mangsa apabila hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut,”kata sumber.

Pihak polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.