Joseph wira Sarawak

0

Menang tipis 1-0 pada aksi pertama Piala Malaysia

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Sarawak berjaya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, Stadium Negeri malam tadi apabila membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 hasil jaringan Joseph Kalang Tie pada masa kecederaan (minit 91).

Bagaimanapun, perlawanan baharu berusia dua minit, pasukan pelawat, ATM hampir-hampir membedil kubu Sarawak apabila tandukan Hairuddin Omar terkena tiang.

Namun, Sarawak yang mendapat sokongan padu hampir 10,000 penyokong setia mampu memberikan saingan getir dengan melakukan ‘serangan hendap’ beberapa percubaan awal daripada rangkaian penyerang.

Minit ke-14, Joseph hampir- hampir menggamatkan stadium apabila percubaan cantiknya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol ATM, Syed Adney Syed Hussein.

Bagaimanapun, Hairuddin sekali lagi melakukan percubaan baik dengan sepakan gunting pada minit ke-18 namun rembatannya tersasar.

Minit ke-29, pemain import Sarawak Ivan Fatic dihadiahkan kad kuning oleh pengadil perlawanan setelah melakukan kekasaran terhadap pemain ATM.

Perlawanan Sarawak- ATM malam tadi turut disaksikan oleh pemangku ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee.

Walaupun beraksi dalam keadaan berjerebu, keduadua pasukan bermain dengan berhati-hati dan sekali-sekala berbalas serangan.

Ngap Sayot memperolehi beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan namun percubaan cantik Ryan Alan Griffiths minit ke-34 melayang ditiup angin.

Manakala sepakan percuma oleh Ivan juga berjaya ditampan penjaga gol ATM, tetapi bola berjaya disambar Ryan dengan percubaannya juga meliar.

Lima minit sebelum berakhir babak pertama, Sarawak terus mengasak bertubi-tubi kubu ATM menerusi sentuhan Joseph, Ryan dan Billy Mehmet justeru semuanya sia-sia begitu sahaja.

Aksi babak kedua, Sarawak menggandakan usaha memburu jaringan dengan gerakan cantik Hairol Mokhtar di depan gawang ATM setelah menerima hantaran Ronny Harun bagaimanapun percubaannya juga gagal menemui sasaran.

Minit ke-50, penyerang import ATM – Mario Karlovic melakukan percubaan dan bola berjaya ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Iqbal Suhimi.

Sarawak memasukkan Ashri Chuchu pada minit ke-51 dan mengeluarkan Ramesh Lai bagi menguatkan jentera serangan.

Sepuluh minit selepas itu, Billy memiliki peluang terbaik menjaringkan gol apabila gawang ATM sudahpun terbuka namun bola rembatannya tersasar.

Minit ke-68 giliran pemain ATM, Abdul Shukor Jusoh dilayangkan kad kuning setelah melakukan kekasaran terhadap pemain Sarawak, Dzulazlan Ibrahim.

Mohd Shahrol Saperi yang dimasukkan pada minit ke- 80 menggantikan Hairol hampir-hampir menjaringkan gol minit ke-84 namun bola sepakannya tersasar.

Sarawak memasukkan Shreen Tambi pada minit ke-85 menggantikan Ivan dalam situasi ATM melancarkan serangan bertali arus minit-minit terakhir.

Namun, Sarawak akhirnya memecah kebuntuan gol dengan sentuhan berbisa Joseph pada masa kecederaan.