Friday, December 4

Budak ditemui lemas

0
LEMAS: Mangsa yang ditemui Unit PPDA diangkat masuk ke dalam bot.

LEMAS: Mangsa yang ditemui Unit PPDA diangkat masuk ke dalam bot.

TERBUJUR KAKU: Ibu mangsa bersama mayat mangsa dalam ambulans EMRS untuk dibawa ke HUS.

TERBUJUR KAKU: Ibu mangsa bersama mayat mangsa dalam ambulans EMRS untuk dibawa ke HUS.

Mohamad Fiqreez yang terjatuh di anak sungai di Taman Sri Matang, ditemui mati lemas semalam.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh di anak sungai di Taman Sri Matang di sini, ditemui mati lemas semalam, kira-kira 60 meter dari lokasi kejadian.

Mohamad Fiqreez Qinawi yang berumur tujuh tahun disahkan telah meninggal dunia apabila dijumpai oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 12 tengah hari.

Mangsa kelmarin (Sabtu) dikatakan sedang bermain di tepi sungai berhampiran hutan sekunder di belakang kompleks rumah pangsa apabila dia dan seorang lagi kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam sungai.

Rakannya berupaya menyelamatkan diri namun Fiqreez hilang daripada pandangan, lantas abangnya yang berumur 10 tahun bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan insiden itu kepada ibu mereka.

Menurut ibu mangsa, kali terakhir dia melihat anak-anaknya bermain di depan rumah adalah sekitar jam 4 petang bersama kanak-kanak lain di kejiranan tersebut.

Dia hanya menyedari mereka pergi ke tempat lain sejam kemudian ketika melihat keluar rumah dan mengetahui insiden itu apabila anak sulungnya tiba di rumah dan memaklumkan tragedi tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan kekuatan empat anggota diketuai oleh Mohd Raffy Saibi, Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) BBP Batu Lintang (tiga orang), Unit PPDA (enam orang) dan Pusat Gerakan Operasi (dua orang).

Turut hadir, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Penolong Penguasa Bomba Kanan (PgKB) I Tiong Ling Hii selaku komander operasi dan PgKBII Annuar Shadzat Merdzuki.

Agensi lain yang terlibat dalam operasi itu adalah polis termasuk pegawai daripada Unit K9 dengan seekor anjing pengesan serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sebanyak dua bot digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat itu, masing-masing kepunyaan JBPM dan JPAM.