Mereka mahu beliau jadi calon BN pada PRN akan datang untuk teruskan kesinambungan pembangunan di Marudi
Oleh Sudan Ajang //

MENDAPAT SOKONGAN: Entri (empat kiri) diapit Penghulu Nyadang dan Pemanca Enggah merakam kenangan ketika memeriksa kerja-kerja membaki jambatan di Sungai Laong di Ulu Teru yang dilaksanakan di bawah projek kecil luar bandar dengan kerjasama masyarakat tempatan.
MIRI: Rakyat di Ulu Teru menyatakan pendirian teguh untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Sylvester Entri Muran sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di konstituensi Marudi.
Lebih separuh iaitu 16 daripada 26 tuai rumah menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Sylvester Entri semasa sesi Pemimpin Bertemu Rakyat di rumah Tuai Rumah Abok di Kampung Mulong, Ulu Teru, kelmarin.
Antara yang hadir ialah Pemanca Enggah Muga, Penghulu Nyadang Ringkang yang lantang menyatakan sokongan mahukan Sylvester Entri yang juga setiausaha agung TERAS dan memenangi PRN melalui tiket SNAP dan SPDP.
Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyatakan Entri merupakan calon BN di Marudi pada PRN akan datang namun ini tidak menghalang bekas parti beliau iaitu SPDP mendakwa parti akan menuntut kerusi itu dan menamakan pegawai kanan kerajaan sebagai calon di kawasan tersebut.
Sementara itu, Penghulu Nyadang menyeru rakyat di Ulu Teru agar terus berdiri teguh di belakang Entri yang terbukti menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat yang berdedikasi dan memahami keperluan rakyat.
Beliau mengingatkan penduduk agar tidak mudah terpedaya dengan pihak lain namun terus menyokong kepimpinan wakil rakyat yang mereka kenal dan tahu hati budinya.
Terdahulu, Entri yang juga Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Kemudahan Awam turut berterima kasih atas kehadiran kira-kira 350 penduduk termasuk 26 tuai rumah.
“Sebelum ini ada yang berpaling daripada kita namun kini mereka sudah sedar dan turut hadir pada hari ini. Ini merupakan petunjuk yang baik bahawa penduduk Ulu Teru semakin menyokong BN berbanding semasa Pilihan Raya Umum lepas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat agar terus menyokong kepimpinan BN agar lebih banyak usaha pembangunan dapat dilaksanakan pada masa akan datang.
Entri turut meninjau kerja-kerja membaiki jambatan merentasi Sungai Raong dan jambatan gantung bernilai RM200,000 merentasi Sungai Nat di Teru selain meninjau loji jana kuasa di Klinik Kesihatan Ulu Teru.
Beliau turut mengumumkan geran RM60,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pengarah Enteri untuk menaik taraf jeti sekolah.