MIRI: Tiga lelaki disyaki penagih dadah diberkas polis hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di sini dan Bekenu pagi semalam.
Berikutan itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 26, 33, dan 31 tahun kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.
Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman membuat serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kejapil, Bekenu.
Dalam serbuan sekitar jam 10 pagi itu, polis telah menahan seorang lelaki untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Manakala suspek kedua turut diberkas pada jam 10 pagi di sebuah rumah di kawasan perumahan Tukau, Jalan Bakam di sini kerana disyaki terlibat kegiatan sama.
Suspek ketiga pula ditahan sekitar jam 11.30 pagi oleh sepasukan polis sama di sebuah rumah di Taman Pujut, Jalan Pujut Padang Kerbau kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.
Polis yang membuat pemeriksaan lanjut tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang di ketiga-tiga lokasi serbuan.
Berikutan itu, kesemua suspek masing-masing telah dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian mendapati suspek pertama dan ketiga positif dadah jenis Amphetamine manakala suspek kedua positif dadah Ketamine.
Sehubungan itu, mereka telah ditangkap mengikut Seksyen 3 (1) (c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Ketiga-tiga suspek kemudian dirujuk ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Miri untuk tindakan lanjut.