Sunday, June 20

Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan sumbang 59 ekor lembu korban

0
UNTUK KORBAN: Naroden bersama tetamu kehormat lain semasa menghadiri majlis penyerahan lembu-lembu korban sumbangan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan di PPES Ternak di Kuching, semalam.

UNTUK KORBAN: Naroden bersama tetamu kehormat lain semasa menghadiri majlis penyerahan lembu-lembu korban sumbangan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan di PPES Ternak di Kuching, semalam.

KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan menyumbang 59 ekor lembu untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Sumbangan tersebut adalah untuk diagihkan kepada penduduk khususnya golongan yang memerlukan di kawasan Samarahan, Simunjan, Sadong Jaya, Asajaya, Sebuyau termasuk Serian.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) yang juga ADUN Simunjan Datuk Mohd Naroden Majais berkata sumbangan tersebut merupakan aktiviti tahunan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan sempena Hari Raya Korban.

“Lembu-lembu yang disumbangkan ini akan dibahagikan kepada setiap zon di Samarahan untuk menunaikan ibadah korban,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis penyerahan lembu-lembu korban sumbangan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan di PPES Ternak di sini, semalam.

Menurut Naroden, tahun ini setiap zon akan menerima 11 ekor lembu berbanding tahun lepas sebanyak sembilan ekor.

“Daging korban itu nanti adalah untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, ADUN Asajaya yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Sebuyau merangkap Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi, ADUN Sadong Jaya Aidell Lariwoo dan ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohd Ali Mahmud.